KOTA KINABALU: Seramai 71 pasangan warga Indonesia (WNI) di Sabah menerima pengiktirafan sah perkahwinan menerusi Program MENIKUM (Menikah untuk Melindungi) 2.0 yang dianjurkan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu dari 30 Jun hingga 3 Julai.

Program itu bertujuan memperkukuh kepastian undang-undang bagi keluarga WNI di luar negara dengan memastikan mereka mendapat pengiktirafan sah, perlindungan hak-hak sivil serta akses yang lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan Indonesia.

Selain pengesahan perkahwinan, peserta turut menerima pelbagai perkhidmatan pentadbiran kependudukan secara bersepadu termasuk pengemaskinian data penduduk, pengeluaran Nombor Induk Tunggal (NIT), perubahan status perkahwinan serta Surat Bukti Pencatatan Kelahiran (SBPK) bagi anak-anak mereka.

Menurut KJRI Kota Kinabalu, dokumen perkahwinan yang sah bukan sahaja memenuhi keperluan pentadbiran, malah menjadi asas penting bagi perlindungan keluarga, pengiktirafan status suami, isteri dan anak, selain memudahkan urusan pendaftaran kelahiran, pendidikan, kesihatan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Program MENIKUM merupakan inisiatif perkhidmatan awam yang diperkenalkan oleh KJRI Kota Kinabalu sejak 2011 dan kini telah menjadi model amalan terbaik yang turut dilaksanakan oleh beberapa Perwakilan Republik Indonesia di Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak 34 program perkhidmatan bersepadu telah dilaksanakan hasil kerjasama antara Kementerian Luar Negeri, Kementerian Agama dan Kementerian Dalam Negeri Indonesia bagi memudahkan rakyat Indonesia di luar negara mengakses perkhidmatan kerajaan.

Dalam program sama, KJRI Kota Kinabalu turut mengadakan sesi penyebaran dasar dan pengukuhan kapasiti teknikal berkaitan standardisasi perkhidmatan pentadbiran kependudukan serta pencatatan perkahwinan di luar negara selaras dengan Peraturan Menteri Agama Indonesia No. 30 Tahun 2025.

Majlis pembukaan disempurnakan oleh Penasihat Menteri Luar Negeri Indonesia bagi Hubungan Antara Institusi, Prasetya Hadi, yang menegaskan kepentingan kerjasama antara kementerian dan agensi dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih inklusif kepada rakyat Indonesia di luar negara.

Sementara itu, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Noorman Effendi berkata, pencatatan perkahwinan bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya menjadi asas penting dalam membina institusi keluarga yang kukuh.

Beliau berkata, program itu memastikan setiap keluarga Indonesia memperoleh pengiktirafan undang-undang, perlindungan negara serta jaminan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Katanya, memandangkan sebahagian besar WNI di bawah bidang kuasa KJRI Kota Kinabalu tinggal di kawasan ladang dengan akses pengangkutan yang terhad, program seperti MENIKUM menjadi pendekatan efektif bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.

KJRI Kota Kinabalu memaklumkan pihaknya akan terus memperluaskan pelaksanaan program bersepadu itu secara berkala, selain mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan dokumen melalui teknologi digital, pemimpin masyarakat, pertubuhan komuniti, sekolah dan rangkaian pekerja migran.

Program MENIKUM 2.0 mencerminkan komitmen Kerajaan Indonesia dalam memastikan perlindungan rakyatnya bukan hanya melalui perkhidmatan konsular, malah menerusi pemenuhan hak-hak sivil yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang teratur dilindungi undang-undang dan sejahtera.-pr/BNN