KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat, Aksyah Haji Nasrah, menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah yang termaktub dalam undang-undang perlu dihormati semua pihak, sambil menyifatkan kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim terhadap tindakan menyekat kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi ke Sabah sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, kenyataan Hassan yang mendakwa tindakan pihak berkuasa Sabah itu sebagai “keterlaluan” hanya memperlihatkan sikap segelintir pemimpin dari Semenanjung yang gagal memahami sejarah serta kedudukan istimewa Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Aksyah berkata, kuasa autonomi imigresen Sabah bukanlah sesuatu yang diwujudkan oleh kerajaan negeri hari ini, sebaliknya hak yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
“Ini bukan kuasa yang direka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sebaliknya hak mutlak rakyat Sabah yang dipelihara oleh undang-undang.
“Justeru, sesiapa sahaja termasuk rakyat dari Semenanjung tertakluk kepada peraturan imigresen Sabah apabila ingin memasuki negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa mempunyai hak untuk menolak kemasukan mana-mana individu sekiranya terdapat pertimbangan bahawa kehadiran mereka berpotensi menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negeri.
Mengulas dakwaan Hassan bahawa Asraf bukan ancaman kepada Sabah, Aksyah mempersoalkan asas keyakinan Ahli Parlimen itu dalam membuat kesimpulan sedemikian.
Katanya, tindakan sekatan berkenaan berlaku hanya beberapa hari sebelum penganjuran perhimpunan dikenali sebagai “Gempur Rasuah Sabah 3.0”, sekali gus wajar dilihat dalam konteks menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Sabah memerlukan kestabilan bagi meneruskan agenda pembangunan, bukannya budaya demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan ketegangan serta mengganggu keyakinan pelabur dan ekonomi negeri.
“Tindakan kerajaan negeri adalah bersifat pencegahan, bukannya menunggu sehingga berlaku insiden yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.
Aksyah turut menolak dakwaan segelintir pihak yang melabelkan Ketua Menteri sebagai “diktator” kerana menggunakan kuasa imigresen negeri.
Menurutnya, pelaksanaan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang tidak boleh disamakan dengan penyalahgunaan kuasa, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan dalam melindungi kepentingan dan keselamatan Sabah.
Beliau juga menyifatkan usaha membangkitkan isu peribadi Asraf sebagai tidak dapat mengubah hakikat bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap tindakan dan penglibatan masing-masing.
Sehubungan itu, Aksyah menasihatkan semua pihak, khususnya pemimpin dan aktivis dari Semenanjung, supaya menghormati hak autonomi Sabah serta tidak mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji, kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang memerlukan suasana politik stabil dan kondusif bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
“Rakyat Sabah mahukan keamanan, kestabilan dan pembangunan berterusan, bukannya polemik serta provokasi politik yang hanya menggugat keharmonian negeri,” katanya.-pr/BNN





