KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan hak autonomi imigresen Sabah yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati semua pihak, di samping mengecam penyalahgunaan kebebasan bersuara sehingga mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan, hasutan dan tuduhan tidak berasas.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda, berkata pihaknya mengiktiraf hak rakyat untuk mengkritik kerajaan sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi, namun kebebasan itu mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan dalam batas undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan dan hantaran media sosial seorang aktivis belia dan mahasiswa, Mohammad Norhamdin Nordin, berhubung isu pelaksanaan autonomi imigresen Sabah.

Menurutnya, keputusan Kerajaan Negeri tidak membenarkan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, ke Sabah dibuat berdasarkan kuasa autonomi imigresen yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen.

“Hak autonomi imigresen Sabah bukan satu keistimewaan politik, sebaliknya hak yang dijamin Perlembagaan serta sebahagian daripada syarat pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Redonah berkata, kuasa itu membolehkan kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri sebelum membenarkan kemasukan seseorang ke Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan hendaklah dilaksanakan secara berhemah tanpa unsur fitnah, penghinaan atau hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pada masa sama, beliau menolak sebarang cubaan membentuk persepsi negatif terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menerusi dakwaan yang disifatkan tidak berasaskan fakta.

Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji terus memperkukuh integriti dan tadbir urus menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PIPANS), Governance, Integrity and Anti-Corruption (GIA) dan BIGoNS.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, khususnya golongan belia dan aktivis, supaya mengamalkan demokrasi secara matang dengan menghormati undang-undang serta mengelakkan retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk melanggar undang-undang. Demokrasi yang matang menuntut kebebasan disertai tanggungjawab,” katanya.-pr/BNN