KOTAKINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan berkaitan bagi menambah baik pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di negeri ini.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah kerajaan negeri memperjuangkan keperluan rakyat Sabah dalam isu subsidi diesel adalah tepat dan wajar mendapat sokongan semua pihak.
Beliau berkata, usaha mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak serta meneliti cadangan penambahbaikan yang bersesuaian menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesan pelaksanaan subsidi diesel bersasar kepada rakyat.
Menurutnya, pendekatan berkenaan amat penting kerana Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan sesuatu dasar berkaitan kos sara hidup dan pengangkutan.
“Pelaksanaan subsidi diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan pelaksanaannya di Semenanjung Malaysia kerana faktor geografi, infrastruktur dan corak ekonomi rakyat yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sabah mempunyai keluasan wilayah yang besar, rangkaian jalan raya yang panjang, kawasan luar bandar dan pedalaman yang luas serta banyak penempatan yang bergantung kepada pengangkutan darat untuk menjalankan aktiviti harian dan ekonomi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kos perjalanan, pengangkutan dan logistik di Sabah lebih tinggi berbanding di Semenanjung, sekali gus memberi kesan langsung kepada penduduk, terutama golongan yang bergantung kepada diesel untuk menjana pendapatan.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi Persekutuan berkaitan dapat mempertimbangkan mekanisme yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keadaan di Sabah, termasuk memperluaskan akses subsidi diesel kepada lebih ramai pengguna yang benar-benar memerlukan.
Beliau berkata, antara perkara yang wajar diberi perhatian ialah keperluan petani, pekebun kecil, penternak, nelayan darat, usahawan kecil serta pengusaha pengangkutan yang bergantung kepada diesel sebagai sumber utama untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan menyara kehidupan.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya mekanisme pelaksanaan subsidi dinilai semula agar tidak membebankan rakyat dengan prosedur yang terlalu rumit, di samping memastikan harga barangan keperluan harian tidak meningkat akibat kenaikan kos pengangkutan dan logistik.
Pada masa sama, Yazid turut menggesa agar pertimbangan khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan kedudukan geografi, tahap pembangunan infrastruktur serta kos sara hidup yang berbeza.
Beliau berharap hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi berkaitan akan menghasilkan penyelesaian yang lebih adil, praktikal dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.-pr/BNN





