SANDAKAN: Bantuan kewangan kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah meningkat lebih 100 peratus, daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat untuk mentadbir negeri pada 2020, bantuan kewangan tahunan kepada sekolah Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam terus ditingkatkan secara konsisten.

Peruntukan meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada 2025.

“Pada tahun ini, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM90 juta,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kewangan 2026 kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pantai Timur Sandakan di Dewan SJKC Chi Hwa di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu menyokong aktiviti sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Katanya, peningkatan bantuan secara berterusan sejak 2020 membuktikan bahawa apabila ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat.

“Ini merupakan komitmen Kerajaan GRS untuk memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil dan menikmati manfaat pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Ini melambangkan sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat tanpa mengira kaum, etnik atau kepercayaan agama. Kita membantu mengikut kemampuan serta keperluan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama bagi memastikan Sabah kekal progresif, aman dan makmur serta terus berkembang demi kesejahteraan bersama.

Selaras dengan komitmen tersebut, Kerajaan Sabah turut mencipta satu lagi pencapaian dengan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus memberikan peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta memohon biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

“Ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud di negeri ini. Apa yang paling penting ialah melahirkan modal insan berkualiti dan berpengetahuan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masa depan Sabah,” katanya.

Sementara itu, sejumlah RM9 juta telah diluluskan bagi Zon Pantai Timur yang meliputi Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, meningkat RM2 juta berbanding 2025.

Daripada jumlah itu, RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan yang terdiri daripada sebuah sekolah menengah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah mubaligh swasta.

Sebanyak RM4.58 juta lagi diperuntukkan kepada badan keagamaan bukan Islam, yang memberi manfaat kepada 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong Cina dan dua kuil Hindu.

“Tahun ini, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja turut diluluskan. Saya berharap bantuan yang disampaikan hari ini dapat digunakan dengan berkesan untuk penyelenggaraan, menaik taraf kemudahan, pembangunan pendidikan serta aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya akan terus menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.

“Kita tidak melihat kepada kaum atau agama dalam menyalurkan bantuan. Sebaliknya, kita memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan masa depan negeri yang mesti dibangunkan secara bersama.

“Inilah semangat yang menjadi panduan Kerajaan GRS sejak diberi amanah untuk mentadbir negeri. Saya yakin dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sabah, negeri ini akan terus maju, makmur dan stabil.

“Inilah asas yang akan terus menggerakkan Sabah Maju Jaya untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita akan terus merancang dan berusaha menangani pelbagai isu sambil memastikan semua komuniti, tanpa mengira kaum atau agama, menerima bantuan yang adil dan saksama.

“Sebab itu saya sentiasa menyokong dan membantu institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang memerlukan bantuan. Semangat solidariti dan kebersamaan ini menjadi prinsip panduan Kerajaan GRS sejak kita membentuk Kerajaan Negeri pada 2020,” katanya.-pr/BNN