KOTA KINABALU: Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Sabah Berhad (Ko-Pelajaran) terus memperkukuh kedudukannya sebagai koperasi berdaya saing menerusi transformasi digital, tadbir urus sistematik dan peningkatan kualiti perkhidmatan berteraskan kepentingan anggota.
Pengerusinya, Datuk Dr Haji Sairin Haji Karno, berkata Ko-Pelajaran berpotensi menjadi antara peneraju pendigitalan koperasi di Sabah, selaras perubahan landskap pengurusan dan keperluan anggota masa kini.
Katanya, transformasi digital bukan sekadar penggunaan teknologi, sebaliknya perlu menyelesaikan masalah sebenar koperasi, mempercepat urusan, memudahkan akses maklumat dan membantu pengurusan membuat keputusan berasaskan data yang tepat serta terkini.
“Hasrat kita bukan semata-mata menggunakan teknologi, tetapi memastikan teknologi memberi manfaat nyata kepada anggota dan memperkemas keseluruhan sistem pengurusan koperasi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahun 2026 Ko-Pelajaran di Wisma Ko-Pelajaran, Plaza Riverside Kingfisher, di sini, hari ini.
Beliau berkata, agenda pendigitalan perlu bergerak seiring pengukuhan sistem pengurusan berkualiti berasaskan MS ISO 9001:2015, Kitaran PDCA (Plan, Do, Check, Act) dan Formula KLP – Kabinet, Laci dan Poker.
Menurutnya, gabungan pendekatan berkenaan dengan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) mampu membentuk ekosistem pengurusan digital Ko-Pelajaran yang lebih cekap, telus, berkualiti dan responsif.
“ISO 9001:2015 memberi penekanan kepada pengurusan sistematik, pendekatan proses, pengurusan risiko, kepuasan anggota dan penambahbaikan berterusan, manakala PDCA membantu kita merancang, melaksanakan, menyemak dan mengambil tindakan pembetulan,” katanya.
Dr. Sairin berkata, transformasi itu juga perlu diterjemahkan kepada budaya kualiti di setiap peringkat organisasi dengan memastikan proses pengurusan mempunyai rekod jelas, keputusan berasaskan maklumat kukuh dan setiap kelemahan dijadikan ruang penambahbaikan.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi ruang kepada generasi anggota muda untuk bersama-sama menerajui agenda pendigitalan, termasuk melatih mereka menjadi pemimpin dan pengurus koperasi digital pada masa hadapan.
“Cabaran kita ialah menterjemahkan pengalaman dan kekuatan Ko-Pelajaran kepada pengurusan moden yang lebih cekap, telus, digital dan berkualiti.
“Saya menyeru semua anggota menyokong agenda transformasi ini – daripada koperasi tradisional kepada koperasi digital, pengurusan manual kepada pengurusan berasaskan sistem dan bekerja mengikut kebiasaan kepada bekerja berasaskan standard serta penambahbaikan berterusan,” katanya.
Beliau yakin dengan kesatuan, komitmen dan sokongan anggota serta warga kerja, Ko-Pelajaran mampu terus berkembang sebagai koperasi berdaya saing, digital, berkualiti dan berteraskan anggota, sekali gus memberi nilai tambah kepada anggota serta menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi di Sabah.-pr/BNN





