KOTA KINABALU: Pada 24 Ogos lalu, saya berkesempatan mengetuai rombongan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dalam kunjungan hormat kepada YBhg. Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak, Ketua Merinyu Projek Sabah.
Pertemuan ini amat bermakna kerana selepas sekian lama tidak berpeluang duduk bersama, kami kembali mengimbau hubungan panjang serta jasa besar Datuk Seri Panglima terhadap Pertubuhan Peladang Negeri Sabah.
Semasa menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri pada 1994, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh telah meluluskan tanah seluas 2,500 ekar di Kinabatangan kepada PPN Sabah. Tanah berkenaan kini dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit dan menjadi antara sumber pendapatan penting kepada pertubuhan.
Lebih istimewa, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh kekal sebagai Presiden Kehormat PPN Sabah sejak zaman beliau menjadi Ketua Menteri sehingga kini — satu hubungan yang telah terjalin lebih 30 tahun.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau banyak memberikan pandangan, nasihat dan tunjuk ajar kepada kepimpinan Pertubuhan Peladang. Sumbangan pemikiran dan keprihatinan beliau menjadi antara kekuatan yang membantu kami terus memperkukuh peranan pertubuhan dalam membela kepentingan golongan peladang.
Bagi saya, antara perkara yang paling saya kagumi ialah keperibadian beliau. Walaupun pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan negara, Datuk Seri Panglima Salleh kekal seorang yang merendah diri, mudah didekati dan sentiasa terbuka untuk membantu.
Malah, beliau pernah sendiri menjadi salah seorang perwakilan Sabah ke Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan. Bagi saya, kehadiran beliau dalam perjuangan ini membuktikan bahawa hubungan dengan golongan peladang bukan sekadar pada kedudukan atau jawatan, tetapi lahir daripada keprihatinan dan komitmen yang tulus.
Kunjungan ini bukan sekadar kunjungan hormat, sebaliknya menjadi ruang yang sangat berharga untuk kami mendengar kembali pandangan, pengalaman dan nasihat daripada seorang tokoh yang telah lebih tiga dekad bersama Pertubuhan Peladang Negeri Sabah.
Terima kasih Datuk Seri Panglima Dr. Salleh atas segala jasa, sumbangan, nasihat, tunjuk ajar dan sokongan yang telah diberikan selama ini. Kami amat menghargai hubungan serta persahabatan yang terjalin dan berharap ia akan terus dipelihara untuk manfaat Pertubuhan Peladang serta seluruh warga peladang di Sabah.
Semoga Datuk Seri Panglima sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberikan kekuatan, sentiasa dalam perliharaan Allah dan terus menjadi sumber inspirasi serta rujukan kepada kami. Jasa dan budi Datuk Seri Panglima akan sentiasa kami kenang dan hargai.Aamiin.
Mohd Nazri Abdullah





