KUALA LUMPUR: Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah OCEANMAN Malaysia 2027, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi unggul pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Acara renang perairan terbuka berprestij itu akan berlangsung pada 11 dan 12 September 2027 di Pantai Dalit, Tuaran, dengan Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu sebagai lokasi utama.
Pelancaran OCEANMAN Malaysia 2027 disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, di Pavilion Sabah sempena MATTA Fair 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Penganjuran tahun depan merupakan kali keempat Sabah dipilih menjadi tuan rumah OCEANMAN, yang turut menempatkan Malaysia antara hanya 30 negara di dunia dalam kalendar OCEANMAN World Series.
Pengarah Perlumbaan, Azura Zainol Abidin, berkata keputusan untuk meneruskan penganjuran di Shangri-La Rasa Ria dibuat berikutan sambutan menggalakkan terhadap edisi terdahulu selain faktor kesesuaian lokasi dan kelancaran operasi.
OCEANMAN Malaysia 2027 dijangka menarik ribuan peserta, kru sokongan dan ahli keluarga dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Singapura, Vietnam, Kazakhstan dan India.
Kehadiran pelancong sukan antarabangsa itu dijangka memberi manfaat ekonomi kepada sektor perhotelan, restoran, pengendali pelancongan dan pengangkutan di Tuaran serta kawasan Kota Kinabalu.
Joniston berkata, OCEANMAN Malaysia merupakan acara sukan berimpak tinggi yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah, selain mempromosikan negeri itu sebagai destinasi sukan air, pengembaraan dan alam semula jadi bertaraf dunia.
Beliau berkata, keindahan Pantai Dalit turut menyediakan latar yang menarik untuk mengetengahkan khazanah marin dan keindahan semula jadi Sabah kepada masyarakat antarabangsa.
OCEANMAN Malaysia 2027 menawarkan empat kategori perlumbaan iaitu OCEANMAN 10 kilometer, Half OCEANMAN 5 kilometer, Sprint 2 kilometer dan OceanKids 500 meter, yang terbuka kepada pelbagai peringkat peserta termasuk atlet elit, perenang baharu dan kanak-kanak.
Penganjur, Tough Gorilla Ventures, turut mengumumkan hadiah cabutan bertuah sempena pelancaran, termasuk dua hadiah penginapan dua hari satu malam di Shangri-La Rasa Ria, yang merupakan hotel rasmi acara berkenaan.
Maklumat pendaftaran, jadual perlumbaan dan pakej penginapan akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman rasmi OCEANMAN.
Menurut Joniston, penganjuran itu juga selari dengan Tahun Melawat Sabah 2027 dan menjadi peluang untuk menarik lebih ramai pelancong dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.
Beliau menggalakkan peserta serta keluarga yang berkunjung sempena acara itu supaya mengambil kesempatan meneroka pelbagai destinasi menarik, budaya dan hospitaliti yang ditawarkan Sabah.-pr.BNN




