KOTA KINABALU: Pendekatan diplomasi dan ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan lebih berkesan kerana membawa hasil nyata untuk rakyat negeri ini.

Ketua Penerangan Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata perkara itu jelas berdasarkan pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada 11 September lalu.

Beliau berkata, isu MA63, hak 40 peratus hasil bersih Sabah dan penambahan kerusi Parlimen perlu dilihat melangkaui kepentingan politik kepartian kerana ia membabitkan maruah serta hak mutlak rakyat Sabah.

“Saya meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers) DUN Sabah, Datuk Masiung Banah hari ini. Apa yang beliau perkatakan itu adalah satu kebenaran yang amat nyata,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Aksyah, ada masanya politik boleh dimainkan, namun apabila menyentuh kepentingan Sabah, semua pihak perlu mengetepikan ‘senjata politik’ masing-masing.

Beliau mendakwa pendekatan konfrontasi yang sering digunakan pembangkang, khususnya Warisan, tidak membawa hasil sebaliknya hanya menyebabkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan menjadi tegang.

“Politik jeritan kosong tidak membawa pulang apa-apa hasil selain daripada hubungan yang tegang dengan Persekutuan,” katanya.

Sebaliknya, Aksyah berkata, ketegasan Hajiji secara bersemuka dan melalui saluran diplomasi matang dalam tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah membuahkan hasil apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan Geran Khas Interim sebanyak RM1.5 bilion bagi tahun ini.

Beliau menegaskan, geran berkenaan hanyalah pembayaran interim atau sementara dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian akhir terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah.

“RM1.5 bilion ini hanyalah pembayaran interim. Ia adalah dana segera untuk pembangunan rakyat Sabah hari ini, manakala tuntutan hakiki 40 peratus hasil bersih itu tetap berjalan dan tidak akan sesekali dikompromi oleh pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengenai penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, Aksyah berkata persetujuan Perdana Menteri untuk meminda Perlembagaan bagi tujuan itu juga satu perkembangan penting dalam usaha mengembalikan kedudukan perwakilan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, usaha mengembalikan status asal satu pertiga suara Borneo di Dewan Rakyat bukan hanya memberi manfaat kepada kerajaan atau GRS, sebaliknya memberi kesan kepada seluruh rakyat Sabah termasuk penyokong pembangkang.

Aksyah berkata, perkembangan itu membuktikan kepentingan wadah politik tempatan yang kukuh dan stabil dalam memperjuangkan kepentingan Sabah di peringkat Persekutuan.

“Hanya acuan politik tempatan yang stabil di bawah pimpinan Hajiji  yang terbukti mampu menekan Persekutuan demi memberikan hak kita, bukannya parti yang hanya tahu mengkritik tanpa memberi solusi,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan berkaitan MA63, hak 40 peratus hasil dan perwakilan Sabah di Parlimen melangkaui batas kepartian dan sewajarnya disokong seluruh rakyat negeri ini.-pr/BNN