KOTA KINABALU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara prinsip menyatakan pihak Persekutuan bersetuju menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dilihat akan memberi impak positif serta keseimbangan di Dewan Rakyat nanti.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN); Datuk Najib Tay Abdullah berkata, sehubungan itu, perkara tersebut tidak boleh dianggap sebagai retorik politik semata-mata dan ia sebenarnya membuka peluang kepada Sabah Sarawak.
Jelasnya, ia juga sekaligus membuktikan PMX sentiasa peka terhadap keperluan sosio dan perkembangan di Sabah, Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selepas Singapura meninggalkan Malaysia, julat satu pertiga untuk mengisi jumlah wakil di Parlimen menjadi kosong dan kekosongan itu selayaknya di isi oleh wakil kita dan Sarawak.
“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri yang mengilhamkan perkara ini dan kita amat berharap ianya dapat direalisasikan secepat mungkin.
“Tidak lupa juga kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pimpinan negeri yang sentiasa komited dalam memperjuangkan hak-hak MA63 seperti penambahan kerusi ini yang mana ia amat relevan memandangkan keadaan geografi kita serta jumlah pengundi di sesuatu parlimen yang seharusnya perlu digariskan semula atau ditambah, “katanya.
Perdana Menteri, dalam lawatan kerjanya di Sabah bersempena Mesyuarat Majlis Tindakan Perlaksanaan MA63 baru-baru ini mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat secara prinsip bersetuju meningkatkan nisbah kerusi Parlimen melibatkan wakil dari Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri turut menjelaskan keputusan berkenaan adalah keperluan penambahan jumlah tersebut selaras dalam perjanjian dan susulan kekurangan satu pertiga ditinggalkan oleh Singapura yang pernah sebumbung dengan Malaysia pada satu ketika dahulu.
Sementara itu, Najib Tay berkata, Sabah dan Sarawak turut dilihat secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen di mana ia sekaligus mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Jika penambahan ini menjadi kenyataan, nescaya ia mampu menjadi titik tolak kepada penambahan aspek kemajuan negeri, peruntukkan serta kawalan semasa melibatkan persempadanan Parlimen.
“Sudah tentu Sabah secara amnya mendapat banyak manfaat, maka kita akan memperkasakan lagi suara kita di Dewan Rakyat” katanya.-pr/BNN





