KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), sekali gus memperkukuh parti itu di Bahagian Pensiangan.

Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin, selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PGRS Bahagian Pensiangan di Hotel Sento, di sini, semalam.

Beliau turut dilantik sebagai AJK PGRS Bahagian Pensiangan selepas menyertai parti berkenaan.

Abdul Ghani berkata, perubahan struktur daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen menjadikan pentadbiran parti lebih mencabar, namun pada masa sama memberi ruang untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau berkata, PGRS Bahagian Pensiangan turut mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai langkah persediaan memperkukuh jentera pilihan raya menghadapi PRU16.

Katanya, pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), manakala penubuhan cawangan PGRS hendaklah berasaskan PDM di setiap kawasan berkenaan.

Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron serta bekas pemimpin dan ahli STAR ke dalam PGRS, yang disifatkannya sebagai tambahan kekuatan kepada parti di Bahagian Pensiangan.-pr/BNN