KOTA KINABALU: Sabah memerlukan lebih ramai pemimpin dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an berada di barisan hadapan politik, merentasi semua parti.
Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, berkata mereka mestilah pintar, petah berhujah dan berpengetahuan, dengan pemahaman yang baik mengenai politik, ekonomi, tadbir urus, teknologi serta perkembangan global.
“Paling penting, mereka mesti mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai MA63, Perlembagaan Persekutuan, sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dalam Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, memperjuangkan kepentingan Sabah memerlukan lebih daripada slogan dan emosi.
“Kita memerlukan pemimpin yang mampu menghujah dan merundingkan kepentingan Sabah berasaskan fakta, undang-undang dan sejarah,” katanya.
Salleh berkata, usaha itu bukan soal menggantikan pemimpin senior, sebaliknya memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Ini soal memastikan kesinambungan kepimpinan dengan menggabungkan pengalaman dan kebijaksanaan mereka dengan tenaga, idea serta perspektif generasi baharu,” katanya.-pr/BNN





