KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah melaksanakan 1,066 program dengan peruntukan berjumlah RM47.2 juta yang memanfaatkan seramai 22,038 orang bagi tempoh 2011 hingga 2026.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan melalui 29 program yang melibatkan 200 orang kumpulan sasar.
Sabah mempunyai khazanah budaya yang kaya, termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan, manik serta pelbagai hasil kraf tangan, yang perlu diteruskan generasi muda selari perkembangan zaman, katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi, pekerjaan dan keperluan industri.
“Anak-anak Sabah perlu diberikan ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan mengambil peluang. Sebab itu, pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat.
“Program Khas Anak Negeri atau PKAN yang kita raikan pada hari ini merupakan satu contoh usaha yang memberi ruang kepada rakyat untuk membina keupayaan melalui kemahiran dan pengalaman.
Menurut Ketua Menteri, penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026 menunjukkan bahawa kreativiti dan hasil kerja Sabah mempunyai potensi untuk diketengahkan di peringkat lebih luas.
Katanya, usaha berterusan Yayasan Sabah dalam memastikan industri kraf tangan terjamin dan terus berkembang turut diperkuatkan melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Ini diikuti dengan penyerahan Letter of Intention (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn. Bhd.
Pada masa yang sama, Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN.
“Penglibatan mereka memperlihatkan bahawa pembangunan modal insan tidak terhad kepada kemahiran tradisional, tetapi turut merangkumi bidang yang berkaitan dengan kebolehpasaran, teknologi, keusahawanan dan keperluan industri semasa.
“KTYS turut menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pembangunan modal insan. Bagi tempoh 2016 hingga 2026, KTYS telah melaksanakan 93 program dengan jumlah peruntukan RM15.01 juta dan melibatkan seramai 1,936 orang peserta,” katanya.
Melalui PKAN, KTYS telah melaksanakan Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam subjek kritikal Matematik dan Sains.
Hajiji berkata program yang melibatkan tiga buah sekolah dengan kuota 200 pelajar ini telah menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi SPM 2025.
Susulan kejayaan tersebut, penyertaan diperluas kepada 300 pelajar melibatkan enam buah sekolah pada tahun ini, katanya.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan rentan melalui kemahiran pemprosesan makanan hasil laut, dengan 43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka, katanya.
Sementara itu, UCSF melalui PKAN Sabah 2026 telah melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (EXPERTISE) dengan peruntukan RM750,000.00 untuk 11 program melibatkan 314 golongan sasar terdiri daripada kalangan belia dan komuniti Anak Negeri Sabah.
Hajiji berkata Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) antara program yang dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC) dengan seramai 13 pelajar telah mendapat penempatan latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
Selain itu, katanya, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) telah berjaya dilaksanakan dengan penganjuran sembilan program berteraskan bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, Artificial Intelligence (AI), Sains dan Teknologi, dan pertanian.
Beliau berkata program jangkauan ini melibatkan 292 peserta dari daerah-daerah seperti Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu, dan Kota Kinabatangan.
Dalam hal ini, katanya, UCSF telah melaksanakan 85 program dan membelanjakan peruntukan berjumlah RM11.7 juta yang memanfaatkan 1,842 orang peserta sejak 2015 hingga 2025 Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan usaha untuk memastikan pembangunan Sabah sentiasa berpaksikan kepada rakyat, dengan peluang terus dibuka.-pr/BNN





