KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyambut baik usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melaksanakan reformasi bagi memperkukuh serta meningkatkan martabat institusi Mahkamah Anak Negeri di Sabah.

Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi kehakiman anak negeri serta memastikan undang-undang adat terus dihormati dan dipertahankan.

“Langkah ini amat bertepatan dengan masanya dan merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri agar terus relevan dengan peredaran zaman.

“Dengan meningkatkan martabat Mahkamah Anak Negeri, kerajaan negeri membuktikan pengiktirafannya terhadap kepentingan undang-undang adat dan institusi tradisional sebagai sebahagian daripada sistem kehakiman Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, reformasi itu juga selaras dengan perjuangan KDCA sejak sekian lama dalam melindungi hak, kepentingan, identiti dan martabat masyarakat anak negeri Sabah.

Menurutnya, Mahkamah Anak Negeri merupakan institusi penting yang menyediakan platform keadilan berasaskan adat serta melindungi adat resam yang diwarisi turun-temurun.

“Pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri bukan sekadar memodenkan pentadbirannya, tetapi turut memberikan pengiktirafan dan penghormatan lebih tinggi kepada masyarakat anak negeri serta sistem perundangan adat mereka,” katanya.

Yasambun turut menyambut baik penstrukturan semula Mahkamah Anak Negeri kepada sistem kehakiman yang lebih menyeluruh, merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Katanya, pewujudan jawatan kehakiman, pelantikan berasaskan merit serta penambahbaikan kemudahan mahkamah dijangka meningkatkan profesionalisme, kredibiliti dan keberkesanan institusi berkenaan.

“Kita mahu melihat Mahkamah Anak Negeri berkembang menjadi sebuah institusi yang kukuh, bebas, dihormati dan berwibawa serta mampu melaksanakan keadilan berasaskan adat secara adil dan berkesan, di samping memelihara keunikan adat resam dan tradisi masyarakat peribumi Sabah,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan generasi muda terus menghargai peranan undang-undang adat dan institusi tradisional dalam membentuk identiti serta memelihara warisan mereka.

KDCA, katanya, akan terus memperjuangkan pengiktirafan hak masyarakat anak negeri, pemeliharaan bahasa dan budaya peribumi serta pemerkasaan institusi yang menjaga kepentingan mereka.

Beliau berkata, KDCA juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri serta memperjuangkan aspirasi masyarakat anak negeri Sabah.-pr/BNN