KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mempergiat program dan sesi libat urus di peringkat akar umbi bagi mendekati pelbagai segmen anak muda, sekali gus memperkukuh sokongan terhadap parti dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim, berkata usaha itu antara fokus yang dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pergerakan itu yang dihadiri barisan EXCO dan ketua-ketua Pemuda bahagian, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, Sabtu lalu.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan dan pengukuhan gerak kerja organisasi susulan penstrukturan semula pentadbiran parti baru-baru ini.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kekuatan serta keupayaan parti terus diperkasakan di semua peringkat.

“Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiat program dan sesi libat urus di peringkat akar umbi bagi mendengar, memahami serta mengangkat aspirasi anak muda,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mesyuarat itu turut memberi perhatian kepada isu asas rakyat, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik, termasuk perkembangan serta kemajuan projek berkaitan yang sedang dilaksanakan dan dijangka disiapkan secara berperingkat mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat bukan sahaja akan memantau kemajuan projek infrastruktur, malah memastikan kesulitan yang dihadapi rakyat sementara menunggu projek berkenaan disiapkan turut diberi perhatian dan ditangani secara proaktif.

Katanya, pergerakan itu akan terus berperanan sebagai penghubung antara suara rakyat dengan kerajaan bagi memastikan setiap isu, keluhan dan aspirasi masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat baru-baru ini mengadakan kunjungan dan pertemuan dengan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching.

Beliau berkata, pertemuan itu menjadi langkah awal membina hubungan dan memperkukuh jaringan kerjasama antara sayap parti, khususnya dalam membincangkan kepentingan serta aspirasi anak muda.

Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk terus memperkukuh parti dan mempertahankan kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, daripada serangan, tohmahan serta fitnah tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebarang dakwaan terhadap kepimpinan parti akan ditangani secara berfakta dan berprinsip.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peranan Pemuda bukan sekadar mempertahankan parti, sebaliknya turut memastikan suara rakyat terus disampaikan kepada kerajaan.

“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus bergerak dengan semangat kesatuan, kesetiaan dan tanggungjawab dalam memperkukuh parti, mendekati anak muda serta memastikan suara rakyat sentiasa didengari,” katanya.-pr/BNN