KOTA KINABALU: Pendedahan mengenai kegiatan penyeludupan dadah yang disyaki membabitkan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan menggunakan aset ketenteraan negara, perlu disiasat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja membabitkan jenayah dadah, malah menyentuh soal integriti dan keselamatan negara.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Manan, berkata beliau amat terkejut dan kecewa dengan pendedahan kegiatan penyeludupan membabitkan kira-kira tiga tan dadah menerusi pangkalan TUDM di Labuan dan Tawau sejak 2024.
Katanya, perkara itu amat membimbangkan, khususnya kepada rakyat Sabah, kerana dakwaan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai pengkhianatan amanah oleh individu yang diberikan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.
“Ketika kerajaan, agensi penguat kuasa dan badan sukarelawan seperti Skuad Antidadah Sabah bertungkus-lumus memerangi ancaman dadah, amat mendukacitakan apabila terdapat individu dalam institusi yang diamanahkan menjaga keselamatan negara disyaki terbabit dalam kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya siasatan menyeluruh dilaksanakan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan jawatan, selain seluruh rangkaian sindiket termasuk dalang serta pembiayanya dibongkar hingga ke akar umbi.
Beliau turut menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap mereka yang terbukti bersalah, manakala kawalan keselamatan, integriti dan pemantauan dalaman aset ketenteraan perlu diperkasakan.
Pada masa sama, kawalan kemasukan dadah ke Sabah melalui laluan udara, laut dan darat perlu diperketatkan bagi memastikan negeri ini tidak menjadi lubuk pengedaran atau hab transit penyeludupan dadah antarabangsa.
Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak tentera atas kerjasama membongkar kegiatan sindiket berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya masyarakat tidak menghukum keseluruhan institusi TUDM atas perbuatan segelintir individu, sebaliknya terus menghormati pengorbanan ribuan anggota tentera yang berkhidmat dengan penuh amanah, integriti dan semangat patriotisme.
“Perjuangan memerangi dadah bukan sahaja menuntut usaha mengurangkan permintaan, tetapi juga keberanian memutuskan rantaian bekalan.
“Dadah tidak mengenal pangkat, tetapi undang-undang juga tidak seharusnya mengenal pangkat. Tiada kompromi terhadap dadah dan tiada kompromi terhadap pengkhianatan amanah,” katanya.-pr/BNN





