KENINGAU: Keluarga MHT menyatakan sokongan terhadap penganjuran Majlis Ibadat Sabda Aki Lanjau dan Odu Mary Lugus menerusi sumbangan pelbagai bahan makanan bagi membantu kelancaran persiapan majlis berkenaan.

Sumbangan diserahkan wakil keluarga, Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles, yang juga cucu kepada Aki Lanjau dan Odu Mary Lugus, kepada Pengerusi Majlis, Peter Apin, dengan disaksikan ahli jawatankuasa penganjur.

Keluarga MHT, singkatan kepada Mohd Hasnan Tawik, terdiri daripada enam beradik iaitu Hj. Yazid, Phyllis, Datuk Robert, Hjh. Faridah, Zainal dan Azline.

Hj. Yazid berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan keluarga serta sokongan terhadap usaha menghimpunkan keturunan Aki Lanjau dan Odu Mary Lugus dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan silaturahim antara generasi, malah memastikan warisan dan hubungan persaudaraan keluarga terus terpelihara.

“Sebagai cucu kepada Aki Lanjau dan Odu Mary Lugus, saya amat bersyukur dan gembira kerana keturunan keluarga dapat berkumpul dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan.

“Semoga pertemuan seperti ini terus menjadi tradisi yang diwariskan kepada generasi akan datang agar hubungan kekeluargaan tidak terputus ditelan zaman,” katanya.-pr/BNN