KENINGAU: Golongan belia perlu berani mencuba perkara baharu dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki sebagai sumber pendapatan yang stabil, kata Penasihat Kehormat Kelab Belia Keningau, Encik Rafie Robert.
Katanya, setiap belia perlu berani mencuba dan mencari peluang kerana kemahiran yang dimiliki boleh menjadi satu aset penting dalam menjana sumber pendapatan yang stabil.
“Saya amat berharap ilmu yang diperoleh oleh para belia menerusi kursus-kursus kemahiran yang disertai dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Simen Fero yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Jun di Taman Bandukan Riverside Resort, di sini.
Menurut Rafie, usaha memperkasa belia melalui latihan kemahiran merupakan pelaburan jangka panjang yang penting bagi melahirkan generasi berdikari dan inovatif.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah atas inisiatif menganjurkan program berasaskan kemahiran yang diyakini mampu memperkukuh daya saing belia tempatan serta membantu menjana ekonomi komuniti setempat.
“Program seperti ini bukan sahaja membina keupayaan diri belia, tetapi juga mencetuskan semangat keusahawanan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Seramai 25 orang belia berumur antara 18 hingga 40 tahun telah menamatkan kursus tersebut yang memberi pendedahan asas mengenai teknik penghasilan produk berasaskan simen fero.
Kursus ini turut melibatkan sesi latihan praktikal di bawah bimbingan tenaga pengajar berkemahiran tinggi.
Kursus ini adalah antara inisiatif berterusan KBS Sabah dalam menyediakan platform pembangunan belia, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperluas peluang latihan dan pemerkasaan ekonomi untuk golongan muda di Sabah. – pr/BNN