KENINGAU: Kehadiran lebih 600 penduduk di Perjumpaan Mukim Senagang malam tadi membuktikan sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, semakin utuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Annuar yang lebih dikenali dengan gelaran mesra DAAA – singkatan kepada namanya – turut membawa maksud ‘Triple A’, iaitu Amanah, Akrab dan Aksi, kini semakin diterima sebagai simbol harapan baharu dalam landskap politik Liawan.

“Kalau kehadiran ini diterjemahkan kepada sokongan, insya-Allah, kita akan terus kuat dan teguh bersama,” kata beliau dalam ucapan ringkas namun bersemangat kepada hadirin.
Menurutnya, usaha menyantuni rakyat tidak akan pernah terhenti biarpun di luar musim pilihan raya, malah akan terus diperkasa demi kesejahteraan masyarakat pelbagai latar belakang di kawasan Liawan.
“Kami akan terus bekerja demi kemajuan bersama. Sokongan anda adalah semangat kami,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada orang ramai.
Annuar turut merakamkan penghargaan kepada Rahiman Jomi yang menyediakan lokasi perjumpaan, serta barisan jawatankuasa penganjur yang telah memastikan kelancaran program berkenaan.
Bagi penduduk setempat, khususnya di Kampung Senagang dan kawasan sekitarnya, kehadiran DAAA bukan sesuatu yang baharu.
Beliau bukan sekadar hadir dalam majlis rasmi, sebaliknya dilihat sentiasa turun padang mendengar keluhan, menyantuni golongan memerlukan dan hadir saat rakyat memerlukan.
“Jangan lihat parti, lihat siapa orangnya. DAAA the best!” ujar seorang penduduk dalam nada spontan ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk Kg.Keritan Laut yang mewakili belia, Alfian Hendry berkata, “DAAA memang dekat di hati kami. Amanah dalam tindakan, akrab dengan rakyat, dan sentiasa menunjukkan aksi berkhidmat yang nyata.”
Perjumpaan tersebut turut menjadi pentas memperkukuh hubungan akar umbi dan membuktikan sokongan terhadap DAAA tidak dibina atas retorik politik semata-mata, tetapi berdasarkan rekod khidmat dan pendekatan mesra rakyat yang konsisten.
Dengan PRN semakin hampir, DAAA dilihat kekal sebagai antara pemimpin yang mendapat kepercayaan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman seperti Liawan.-pr/BNN