KENINGAU: Keprihatinan terhadap isu gangguan bekalan air bersih yang berpanjangan di Kampung Sigapon mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, tampil dengan langkah proaktif apabila membina tangki simpanan air hujan sebagai penyelesaian alternatif yang bersifat lestari dan futuristik.

Kampung Sigapon yang terletak di kawasan berbukit, antara sempadan daerah Keningau dan Tenom, sudah sekian lama berdepan isu gangguan bekalan air, terutama ketika musim kemarau dan pasca kejadian tanah runtuh baru-baru ini yang mengakibatkan krisis bekalan semakin meruncing.

Melihat keperluan mendesak yang dihadapi lebih 200 penduduk kampung yang rata-ratanya bergantung kepada hasil tanaman kontan, kelapa sawit, getah dan penternakan kecil-kecilan, Annuar mengambil inisiatif membina tangki tadahan hujan bersaiz besar untuk menampung keperluan asas komuniti tersebut.

“Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat hidup dalam ketidakpastian. Tangki simpanan air hujan ini bukan hanya penyelesaian sementara, tetapi simbol harapan – bahawa ada pemimpin yang mendengar, memahami dan bertindak,” katanya ketika meninjau lokasi pemasangan tangki yang telah siap dan sedia digunakan.

Tangki tersebut direka bagi menampung jumlah maksimum air hujan dan diagihkan kepada penduduk secara berjadual ketika berlaku gangguan bekalan. Pendekatan ini juga dilihat mampu meningkatkan ketahanan kampung terhadap bencana iklim dan cabaran infrastruktur.

Langkah berinovasi itu menerima reaksi positif daripada penduduk setempat yang menyifatkan Annuar sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mendahulukan keperluan asas mereka.

Penduduk turut menyuarakan keyakinan dan sokongan terhadap kepimpinan Annuar, malah berharap beliau dikekalkan sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Usaha ini turut memperkukuh imej Annuar sebagai pemimpin yang mendepani cabaran dengan solusi konkrit, tidak sekadar beretorik, sebaliknya tampil sebagai ‘arkitek harapan’ yang membawa pendekatan praktikal dan lestari untuk kebajikan masyarakat.

“Kita akan terus mencari jalan terbaik demi kesejahteraan rakyat. Inilah makna sebenar khidmat sebagai pemimpin,” tegasnya.

Penduduk Kampung Sigapon dan kampung-kampung berhampiran menyifatkan langkah ini sebagai titik perubahan penting dalam perjuangan mereka mendapatkan kemudahan asas yang stabil dan berkualiti, sekaligus memberi harapan baharu dalam kehidupan seharian.-pr/BNN