KENINGAU: Kepimpinan berasaskan tindakan sekali lagi dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, apabila tiga kumpulan masyarakat di sini menerima sumbangan ikhlas sebagai bukti keprihatinan beliau terhadap pelbagai lapisan rakyat.

Dalam penyampaian itu, Annuar diwakili Pembantu Operasi Pejabat UPPM Liawan, Mohamad Raihan Jinode, yang menyerahkan sumbangan pertama kepada MDK Football Club (Wanita) bagi menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden Suang Lotud di Tuaran bulan ini. Sumbangan tersebut diterima Ketua Pasukan MDK FT (Wanita), Yvonne James.

Dalam majlis berasingan, Annuar turut menyalurkan bantuan kepada Fredius Juakin bagi meringankan perbelanjaan penggantian dokumen pengenalan diri. Bantuan itu diterima oleh kakaknya, Roslina Juakin, bagi pihak keluarga.

Selain itu, Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) kawasan Keningau turut menerima sumbangan bagi menjayakan Program Fun Run & Ride yang akan berlangsung pada 4 Oktober ini di Dewan Pasisimpungan. Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Bendahari Program, Pastor Jos Gaupi.

Annuar berkata, kepimpinan bukan hanya diukur melalui projek pembangunan berskala besar, tetapi juga melalui tindakan yang memberi makna besar kepada rakyat.

Katanya, keprihatinan terhadap belia, keluarga yang diuji mahupun komuniti keagamaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang tidak boleh dipandang ringan.

“Bagi saya, kepimpinan bukan hanya membina jalan atau bangunan. Ia juga tentang hadir dalam kehidupan rakyat, mendengar dan membantu mengikut kemampuan. Dari futsal wanita, keluarga yang diuji hingga komuniti gereja, semuanya adalah keutamaan,” katanya.-pr/BNN