KOTA KINABALU: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan Jetama Sdn Bhd (Jetama) disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya dalam memperkukuh infrastruktur sokongan industri di Sabah.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kerjasama itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan sistem bekalan air industri yang mampan dan berdaya tahan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), malah mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kesiapsiagaan Sabah menyediakan kemudahan asas.

“Bekalan air yang mencukupi, stabil dan berdaya tahan adalah elemen penting bagi memastikan kelangsungan operasi industri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Sabah.

“Justeru, usaha SOGDC dan Jetama ini wajar dilihat sebagai langkah strategik yang mempunyai kesan jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi dan perindustrian negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan turut selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dipelopori Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, khususnya dalam memperkukuh ekonomi, meningkatkan daya saing negeri dan mewujudkan ekosistem pelaburan lebih kondusif.

Katanya, rakyat mahu pembangunan bukan sekadar diumumkan, sebaliknya diterjemahkan melalui perancangan dan pelaksanaan yang memberi manfaat menerusi peningkatan infrastruktur, peluang pekerjaan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, perkembangan itu juga mencerminkan usaha kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh asas pembangunan negeri secara berperingkat, selain membina keyakinan rakyat melalui rekod pencapaian dan keupayaan merealisasikan perancangan.

“SOGIP sebagai kawasan perindustrian strategik perlu terus diperkasa dengan infrastruktur yang mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

“Pada masa sama, MoU ini diharapkan tidak terhenti pada peringkat persefahaman, sebaliknya diteruskan dengan kajian, perancangan dan pelaksanaan sehingga menghasilkan sistem bekalan air industri yang benar-benar berkesan,” katanya.

Hj Yazid berkata, usaha itu bukan sekadar berkaitan bekalan air untuk industri, tetapi turut menyentuh soal keyakinan pelabur, masa depan ekonomi Sabah serta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Saya percaya hala tuju SMJ 2.0 berpotensi membawa Sabah ke tahap lebih maju sekiranya kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan kerjasama semua pihak terus diperkukuh,” katanya.-pr/BNN