KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) berjaya menganjurkan Seminar Kewangan Sosial Islam Kontemporari yang menghimpunkan ahli akademik, pakar industri dan wakil Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi membincangkan cabaran semasa dalam bidang kewangan sosial Islam.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama UCSF dan MUIS dengan sokongan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Antara pembentang ialah Profesor Madya Dr Asmy, Profesor Madya Dr Aslam, Profesor Madya Dr Hassanudin dan Profesor Madya Dr Ahmad Khaliq dari UIAM; Dr Isa dari UMS; Ustaz Manan, Dr Putra dan Ustaz Fikri dari MUIS, selain Datuk Dr Rafiq Idris dan Dr Gusni dari UCSF.

Seminar turut diserikan dengan pameran poster sepanjang program berlangsung, manakala MUIS membuka Klinik Bergerak Wakaf An-Nur di kampus UCSF bagi memberi perkhidmatan kepada warga kampus dan pengunjung.

Dalam ucapan penutup, Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq  berkata kewangan sosial Islam melalui penggemblengan strategik zakat, wakaf dan sedekah menyediakan pendekatan beretika serta kukuh dalam menangani ketidakseimbangan ekonomi semasa.

Beliau berkata matlamat seminar berkenaan adalah untuk merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dengan penyelesaian praktikal berorientasikan pasaran yang dapat meningkatkan kesejahteraan ummah.

“Marilah kita menggunakan platform ini untuk membina kerjasama rentas sektor, mencetuskan inovasi kewangan dan memacu impak sosial yang mampan,” katanya.-pr/BNN