KENINGAU: Usaha memperkasa Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah diteruskan susulan kelulusan dua Enakmen baharu Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, selaras keperluan mentransformasi sistem kehakiman adat agar lebih tersusun dan berwibawa.

Ketua Daerah (KD) Keningau, Orang Kaya-Kaya (OKK) Alexius Tingadon, menyambut baik langkah berkenaan yang disifatkan penting dalam memperkukuh kedudukan MAN sebagai institusi kehakiman berteraskan adat, undang-undang dan keperluan masyarakat tempatan.

Beliau berkata, pemerkasaan MAN bukan sekadar membabitkan pembangunan fizikal kompleks, sebaliknya turut merangkumi pengukuhan struktur pentadbiran dan perundangan bagi meningkatkan kecekapan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.

“Pemerkasaan ini bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal kompleks, tetapi turut memperkukuhkan struktur pentadbiran dan perundangan Mahkamah Anak Negeri agar lebih berwibawa serta diyakini masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, lawatan tapak bagi cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah diadakan sebagai langkah awal menilai keperluan penambahbaikan kemudahan bagi menyokong perubahan struktur dan fungsi baharu MAN.

Melalui transformasi itu, struktur kehakiman MAN akan merangkumi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, selain penglibatan hakim bertauliah dalam bidang perundangan, manakala peranan pegawai adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri/Wakil dan Ketua Kampung terus dipelihara.

Alexius berkata, keseimbangan antara elemen kehakiman moden dan penghormatan terhadap adat tempatan amat penting bagi memastikan identiti, nilai serta keunikan masyarakat Sabah terus terpelihara.

“Adat bukan sekadar warisan masa lalu, tetapi sebahagian daripada jati diri masyarakat Sabah yang perlu diperkasakan melalui sistem yang lebih tersusun dan berdaya maju,” katanya.

Beliau turut berharap usaha pemerkasaan diperluaskan ke semua bangunan MAN di daerah supaya kemudahan berkenaan dilengkapi utiliti, prasarana dan kelengkapan pentadbiran mencukupi bagi memastikan urusan mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik.

Lawatan tapak itu turut disertai wakil pelbagai bidang kepakaran termasuk Dr Henry Bating (Akademik), Jupirin Wong Adamal (Perundangan), Datuk Duncan Sikodol (Hakim Mahkamah Tinggi), Benedict Topin (Presiden MHEANS), Datuk Martin Idang (Kehakiman) serta Mahmud dan Francis daripada perunding seni bina.

“Pemerkasaan berkenaan diharap memastikan institusi kehakiman adat terus relevan, berwibawa dan dekat dengan masyarakat, tanpa menghakis akar adat yang menjadi asasnya”, jelas Alexius.-pr/BNN