KOTA KINABALU: Isu seorang pemimpin UMNO dari Semenanjung yang tular sejak beberapa hari ini diingatkan supaya menjadi penanda ukur bahawasanya perlu menjaga batas dan adab untuk berhujah di pentas politik.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata; dalam keghairahan menyampaikan ucapan, setiap pemimpin politik perlulah peka terhadap sensitiviti terutamanya melibatkan perkara 3R (Agama, Kaum dan Intitusi Diraja).

Sehubungan itu, telatah pemimpin UMNO yang berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari yang menyentuh isu biarawati dan paderi katolik adalah amat tidak wajar serta mengguris perasaan rakan-rakan lain baik masyarakat Islam mahupun Kristian.

“Perkara ini amat sensitif, janganlah mahu menyampaikan hujah sehingga perlu melibatkan tafsiran kitab agama lain jika tidak mahir apatah lagi di peringkat pentas politik yang sentiasa menjadi tumpuan ramai seperti PAU.

“Semestinya di Sabah, yang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama amat menentang perkara ini, fikirkanlah mengenai keadaan sosial kami di sini, jangan berbuat sesuka hati.

“Saya difahamkan bahawa pemimpin itu telah membuat permohonan maaf dan kita berharap perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan, “katanya.

Terdahulu, isu tersebut disuarakan Ahli Parlimen Tuaran; Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di dalam saluran sosial media beliau yang menempelak ucapan pemimpin tersebut menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Tambah Madius, paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan politik utama negara.

Sementara itu, Najib Tay turut memohon rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan mana-mana hasutan melibatkan isu berkenaan dan kekal menjaga keharmonian sedia ada.

“PERSANTUN turut sama mengecam isu ini dan saya berharap semua pihak agar kekal tenang.

“Saya juga percaya, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, perpaduan di antara kaum sentiasa menjadi keutamaan dan tiada siapa yang mampu menggugatnya.

“Biarlah perkara ini menjadi pengajaran berguna buat mereka dan menunjukkan mereka ini berpolitik tanpa berfikir panjang, bukan seperti kita yang sentiasa mengamalkan budi pekerti meskipun mempunyai pegangan serta berlainan perjuangan politik di Sabah, ” katanya lagi.-pr/BNN