KOTA KINABALU: Borneo Rainforest Lodge di Lembah Danum meraih dua anugerah pada Sabah Landscape Architecture Awards 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha pengurusan landskap dan pemuliharaan hutan hujan tropika.

Lodge berkenaan menerima Anugerah Meranti dan Anugerah Kecemerlangan dalam Kategori Industri Landskap (Sektor Swasta), bagi kategori Hotel, Resort, Homestay, Glamping dan Perkhemahan.

Borneo Rainforest Lodge dimiliki dan dikendalikan oleh Innoprise Jungle Lodge, anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah, yang menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi di salah satu kawasan hutan hujan tropika terpenting di Sabah.

Anugerah berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dengan kerjasama Institut Arkitek Landskap Malaysia.

Pada majlis penyampaian anugerah itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif, menekankan kepentingan mengimbangi pembangunan sosioekonomi dengan usaha melindungi ekosistem semula jadi.

Bagi Borneo Rainforest Lodge, pengurusan landskap bukan sekadar menitikberatkan aspek keindahan, malah turut memberi perhatian kepada kelestarian alam sekitar.

Penggunaan tumbuhan natif membantu menyokong habitat hidupan liar tempatan, manakala pengudaraan dan pencahayaan semula jadi dimanfaatkan bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Pendekatan itu mencerminkan komitmen lodge berkenaan terhadap pelancongan bertanggungjawab yang mengimbangi keselesaan pengunjung dengan usaha pemuliharaan hutan hujan tropika.

Ketua Pegawai Operasi Borneo Nature Tours dan Innoprise Jungle Lodge, Sail Jamaludin, berkata pengiktirafan itu membuktikan kepentingan persekitaran semula jadi dalam membentuk pengalaman pengunjung di Borneo Rainforest Lodge.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini pada Sabah Landscape Architecture Awards 2026. Bagi kami, landskap merupakan sebahagian penting daripada pengalaman di Borneo Rainforest Lodge.

“Tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan penginapan yang memberikan kenangan bermakna, tetapi juga menghormati alam semula jadi serta memastikan pendekatan hospitaliti kami sentiasa selari dengan usaha pemuliharaan Lembah Danum,” katanya.

Sail menghadiri majlis berkenaan bersama pembantu eksekutifnya, Jill Justine.

Pencapaian itu menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap usaha Borneo Rainforest Lodge dalam mempromosikan hospitaliti bertanggungjawab serta memelihara khazanah hutan hujan tropika Lembah Danum.-BNN