KENINGAU: Keperluan mewujudkan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Keningau perlu diberikan perhatian bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di hospital tidak tercicir daripada pendidikan, kata Datuk Azman Haji Ruslan.
Pengerusi Sabah NET Sdn Bhd merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau itu berkata, terdapat pelajar yang memerlukan rawatan jangka pendek atau panjang di hospital, selain ada yang terpaksa menemani atau menjaga ahli keluarga yang menerima rawatan.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menjejaskan pembelajaran pelajar terbabit sekiranya tiada kemudahan pendidikan bersesuaian disediakan.
Sehubungan itu, beliau berharap keperluan SDH di Keningau dapat diberikan perhatian sewajarnya melalui kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan kesinambungan pendidikan pelajar sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sumilau Speed Roadshow Peringkat Daerah Keningau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Apin-Apin, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azman memuji usaha pihak sekolah menganjurkan program berkenaan yang memberikan pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi dan kemahiran.
Beliau berharap program seumpama itu dapat menyemai minat serta membina keyakinan pelajar untuk melanjutkan pengajian dan menceburi pelbagai bidang profesional, termasuk perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.
Azman turut menyentuh cabaran kekurangan doktor, khususnya di Sabah, sekali gus menekankan keperluan memperkasakan usaha melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berkelayakan dalam bidang perubatan.
Katanya, usaha itu penting bagi membantu memenuhi keperluan tenaga profesional kesihatan di negeri ini.-pr/BNN





