KOTA MARUDU: Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tandek, Dato’ Dr. Janathan Kandok meneruskan siri jelajah Program Ziarah Rakyat dengan mengadakan lawatan kerja ke Tamu Kampung Marak Parak, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Marudu, hari ini.

Telah beroperasi selama lebih empat dekad sejak tahun 1980-an lagi, Tamu Marak Parak mempunyai sejarah yang signifikan, secara konsisten menjadi nadi ekonomi kecil serta pusat tumpuan komuniti.

Tamu ini merupakan platform bagi penduduk kampung untuk memasarkan hasil pertanian serta kraftangan bagi menjana pendapatan harian mereka.

Menariknya mengenai Tamu Marak Parak, ia mempunyai jadual operasi yang unik berbanding kebanyakan tamu lain di kawasan Tandek.

Jika tamu biasa bermula sekitar jam 7 pagi, Tamu Marak Parak pula beroperasi jauh lebih awal iaitu seawal jam 5.30 pagi, dan lazimnya menjelang jam 8 pagi, sebahagian besar peniaga telah mula meninggalkan tapak tamu.

Mengambil maklum kekhususan masa tersebut, Dr. Janathan bersama rombongan telah bertolak ke Marak Parak seawal jam 4.30 pagi bagi memastikan kesempatan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk desa serta para penjaja dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Mengiringi beliau dalam lawatan subuh ini  Jeson Majimal, Ketua Penerangan PGRS Kota Marudu,  Datuk George Sangkin, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu , Ahli Jawatankuasa Penyelaras PGRS Tandek, Johari Pengaju  dan Mohd. Fakhrurrazi Abd Wahab.

Dalam tinjauan tersebut, Dr. Janathan turut melihat potensi pembangunan kawasan sekitar Marak Parak yang difahamkan menjadi sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Selain keunikan tamunya, kawasan ini turut mempunyai kelebihan strategik kerana terletak tidak jauh dari pusat pelancongan terkenal iaitu Air Terjun Serinsim.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu, Dato’ Dr. Janathan menyeru orang ramai dan pelancong luar agar lebih kerap berkunjung ke Tamu Marak Parak serta menerokai keindahan Air Terjun Serinsim.

Beliau percaya langkah ini mampu mendatangkan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada penduduk setempat.

“Kita amat menggalakkan lebih ramai pelancong dan pengunjung luar untuk datang ke Marak Parak, merasai sendiri keunikan tamu tradisi ini serta melawat Air Terjun Serinsim.

Sokongan orang ramai menerusi pembelian hasil tani tempatan dan aktiviti pelancongan komuniti ini diyakini mampu meningkatkan taraf hidup serta pendapatan penduduk Marak Parak,” ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Kota Marudu.

Program Ziarah Rakyat ini akan terus diperluaskan ke pelbagai kawasan pedalaman di DUN Tandek bagi memastikan suara, kebimbangan, serta aspirasi akar umbi sentiasa santuni dan diberi perhatian.-pr/BNN