BEAUFORT: Warisan budaya, bahasa, adat resam dan identiti masyarakat Bisaya perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan, berkata usaha mempertahankan warisan bangsa bukan sekadar tanggungjawab persatuan atau kerajaan, sebaliknya perlu menjadi komitmen setiap keluarga dan anggota masyarakat.

Beliau berkata, Sambutan Adau Janang Gayuh bukan sekadar perayaan, tetapi manifestasi rasa syukur, kebanggaan dan kecintaan masyarakat Bisaya terhadap warisan budaya serta identiti bangsa.

Katanya, masyarakat perlu memastikan adat resam, bahasa, kesenian dan permainan tradisional Bisaya terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang, khususnya dalam menghadapi arus pemodenan.

“Bangsa yang maju bukanlah bangsa yang melupakan asal usulnya, tetapi bangsa yang mampu melangkah ke hadapan tanpa meninggalkan akar budayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sukan Rakyat dan Sukan Air sempena Sambutan Adau Janang Gayuh Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) di Dataran Bagandang, Pekan Beaufort, hari ini.

Mazlan berkata, penganjuran sukan rakyat dan sukan air bukan semata-mata medan pertandingan, sebaliknya menjadi wadah merapatkan hubungan kekeluargaan, mengukuhkan semangat kejiranan serta menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang.

Katanya, penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukan, permainan tradisional dan program kebudayaan penting bagi mendekatkan mereka dengan warisan bangsa, selain menggalakkan gaya hidup sihat serta menjauhkan diri daripada gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan kegiatan yang boleh merugikan masa depan.

Beliau berkata, sungai yang menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sejarah masyarakat Bisaya, khususnya di Beaufort dan sekitarnya, juga perlu dihargai dengan menjaga kebersihan serta memelihara alam sekitar, selain memastikan keselamatan sepanjang pertandingan sukan air berlangsung.

Mazlan berharap PBBS terus memainkan peranan sebagai wadah penyatuan masyarakat Bisaya, selain memperkukuh pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan masyarakat yang bersatu, berilmu, berdaya saing serta mempunyai jati diri tinggi.

Katanya, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, turut memberi perhatian terhadap usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat pelbagai etnik menerusi sokongan kepada persatuan kebudayaan, pemeliharaan bahasa ibunda, kesenian tradisional serta inisiatif Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030.

Beliau berkata, kepelbagaian etnik dan budaya bukan penghalang kepada kemajuan Sabah, sebaliknya menjadi kekuatan serta keistimewaan yang perlu dipertahankan bersama, termasuk menjadikan perayaan etnik sebagai platform memperkenalkan keunikan budaya negeri ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Kita mahu masyarakat Bisaya maju dalam pendidikan, berjaya dalam ekonomi, cemerlang dalam kepimpinan, tetapi tetap teguh dengan akar budaya dan identiti bangsanya.

“Kita mahu Sabah maju tanpa kehilangan identiti, membangun tanpa melupakan warisan dan bersatu tanpa menghapuskan kepelbagaian,” katanya.

Mazlan turut menggesa masyarakat Bisaya terus berbangga dengan identiti bangsa masing-masing, mempertahankan bahasa, adat resam, makanan tradisional, pakaian, kesenian dan permainan warisan, selain menjadikan PBBS rakan strategik kerajaan dalam pemerkasaan kebudayaan, pembangunan modal insan serta kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir, Presiden PBBS merangkap Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta ADUN Lumadan, Datuk Janang Gayuh Haji Ruslan Muharam; Timbalan Presiden Kanan PBBS, Abdullah Okin; Timbalan Presiden II PBBS, Haji Ag Jalimin Matiasin; Setiausaha Agung PBBS, Benjamin @ Ismail Atin; Pengerusi Pelaksana Sukan Air dan Sukan Rakyat Adau Janang Gayuh, Abdul Sani Mokjin; wakil Pejabat Daerah Beaufort, Majlis Daerah Beaufort dan agensi kerajaan Persekutuan serta Negeri, selain ahli Majlis Tertinggi PBBS.-pr/BNN