Bersedekah tanpa mengira bangsa dan agama: Linda Haniff

0
188
Linda (4 kanan) bergambar dengan penghuni pusat berkenaan
Linda Haniff

BUDAYA bantu-membantu dan sikap prihatin rakyat Sabah sememangnya tidak boleh disangkal apabila pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang tampil memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Usaha berkenaan dilihat apabila golongan penderma tidak mengira bangsa dan agama berkunjung sendiri ke pusat-pusat badan amal memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Terbaharu, wakil daripada PDP Holdings mengambil kesempatan berkunjung ke Asrama Lelaki San Damiano, Kiulu bagi tujuan lawatan dan beramah mesra dengan penghuni pusat berkenaan.

Naib Presidennya, Datin Hazlinda Mohd Hanif atau lebih dikenali sebagai Linda Haniff berkata, sumbangan turut diberikan berupa bekalan makanan dan wang tunai kepada para penghuni dan kakitangan pusat.

“Dalam masyarakat kini, umat Islam dari pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan.

Linda (tengah) ketika memberi sumbangan kepada pihak Asrama Lelaki San Damiano, Kiulu

“Namun saya ingin melihat sumbangan amal sebegini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja, kerana yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, baru-baru ini.

Linda berkata, tidak kira di mana pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita, malah agama Islam sendiri tidak mensyaratkan sedekah itu hanya wajib dikeluarkan kepada golongan Islam sahaja.

“Sesetengah ulama juga berpendapat bahawa zakat itu sendiri boleh diberikan kepada kalangan bukan Islam yang miskin, begitu juga kepada anak-anak yatim yang bukan beragama Islam,” katanya.

Linda (kiri) merakamkan kenangan dengan bergambar dengan penghuni pusat berkenaan

Dalam lawatan berkenaan, Linda turut berkesempatan beramah mesra dengan para penghuni selain mendendangkan beberapa buah lagu dan turut serta dalam acara makan malam.

Menurutnya, objektif utama lawatan berkenaan dikira amat berjaya kerana misinya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan walaupun berlainan kaum dan agama.

“Sebenarnya tafsiran mengenai pemberian sumbangan ini amat luas, contohnya, memberi sedekah wang ringgit, mengerah tenaga untuk membantu orang yang kesusahan, memberi khidmat tanpa mengira bulu atau warna kulit, semuanya boleh dikira sebagai satu bentuk amal kebajikan.

Linda (4 kanan) bergambar dengan penghuni pusat berkenaan

“Oleh itu, kita berharap agar usaha ini tidak disalahertikan sebaliknya dijadikan contoh kepada sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan sama.

“Kita manusia tidak pernah tahu bagaimana keadaan di masa hadapan kelak, oleh itu selagi berkesempatan adalah lebih baik kita ambil untuk membantu mereka yang memerlukan sekaligus mengumpul saham pahala untuk di kemudian hari,” katanya.

Katanya, matlamat utamanya adalah memupuk perpaduan dan keharmonian di negeri Sabah yang sememangnya terkenal dengan kaum dan agama yang pelbagai.

“Di samping itu, cara ini juga dilihat sebagai satu jalan untuk kita praktikkan dalam misi memulihara dan mempromosi kebudayaan melalui bantuan dana dan sumbangan, ini adalah fokus utama kita sebenarnya,” katanya yang turut sama terlibat dalam beberapa projek amal lain di Rumah Anak Yatim Tambunan, Sembulan dan Ranau.

Ditanya mengenai sasaran utama beliau dalam bidang keusahawanan, Linda berkata, perkara pertama yang akan pihaknya lakukan adalah meningkatkan kemajuan bakat seni perfileman dan lakonan di Sabah.

“Ianya akan dilakukan melalui syarikat Produksi Citra Sari yang kita miliki bersama dengan Dato M.Nasir sebagai Ketua Pegawai Operasi dan saya berperanan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Esekutif.

“Di samping itu, kita juga kini dalam perancangan untuk menubuhkan Dewan Teater yang pertama di Sabah khas untuk barisan artis yang ada selain menghimpunkan semua peniagaan yang ada di bawah Linda Haniff Resources Sdn. Bhd menjadi satu bahagian,” katanya.

Katanya, dalam masa yang sama pihaknya juga akan meningkatkan perkembangan industri fesyen di Sabah dengan memperkenalkan pelbagai jenama pakaian dan aksesories baharu di premis DLH Collections, Lanbaharin Borneo dan What Men Want.

Menurutnya, perancangan itu juga adalah satu cara baharu dalam memperkenalkan budaya Sabah, artis tempatan, produksi drama dan teater muzik menjadi satu pusat hiburan keseniaan sebagai tarikan pelancong ke Sabah.

Jelasnya, beliau mengambil contoh dan menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh badan-badan persatuan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia yang ada di Sabah seperti, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (Agaras), Borneo Hornbill Festival dan Buvazoi Tavantang yang terus menerus mempromosikan Sabah.

Linda yang juga seorang aktivis kebudayaan banyak membantu pihak KDCA dalam kategori Pertandingan Sugandoi bahagian Labuan dan Ranau selain berperanan sebagai salah seorang penaja bagi Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri.

Beliau yang juga salah seorang artis kelahiran Sabah telah mengeluarkan enam buah single dan diakui sebagai juri yang sangat berpengalaman dan sering diundang dalam pertandingan bakat dan nyanyian seperti Got Talent dan Sabah Idol.

Mula menyanyi sejak di bangku sekolah, Linda berjaya memenangi pelbagai pertandingan seperti KDM Idol, Sabah Idol dan Road To Hollywood selain sering memasuki pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain memiliki pelbagai rangkaian perniagaan yang besar beliau juga seorang pelakon yang berbakat dan sering muncul dalam produksi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pelakon dan sebagai tetamu undangan dalam Drama TV Korea.

Dalam masa yang sama, Linda juga turut terlibat dalam bidang permodelan yang mana beliau pernah dipilih sebagai model untuk Koleksi Jovian Mandagie oleh artis solek antarabangsa daripada Amerika Syarikat, Roshar, selain berpeluang menjadi model untuk muka hadapan majalah Breeze!.-Oleh Isab Khan Mukarab Shah/BNN