Jelani minta pengarah JPS beri penjelasan arahan larang sekolah jemputnya hadir acara

0
155
Dato' Jelani Hamdan
Dato’ Jelani Hamdan

MATUNGGONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Dato’ Jelani Hamdan hari ini meminta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPS) memberi penjelasan berhubung arahan melarang sekolah-sekolah di kawasan Matunggong menjemputnya menghadiri atau merasmi aktiviti dan program mereka.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat telah mengeluarkan arahan kepada sekolah-sekolah berhubung perkara itu.

Beliau mengambil contoh perasmian satu program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai baru-baru ini, dia  tidak dipanggil kerana kononya PPD Kudat dan JPN Sabah ada membuat arahan.

“Saya mahu bertanya kepada Pengarah JPS apa status saya di Jabatan Pendidikan dan sekolah-sekolah.

“Sama ada saya dianggap sebagai ADUN pembangkang atau sebaliknya”, kata Jelani yang merupakan Wakil Rayat Pro-Barisan Nasional (BN).

Jelani mempersolakan sama ada benar arahan JPNS kepada PPD setiap daerah untuk melarangnya daripada menghadiri, merasmi atau terlibat dengan kegiatan dan aktiviti sekolah?

“Kalau ya, sila berikan salinan surat pekeliling secara hitam putih kepada saya.

“Saya terpanggil membuat pertanyaan ini kerana ada sesetengah PPD, pengetua sekolah, guru dan lain-lain membuat arahan kepada sekolah-sekolah di kawasan Matunggong untuk tidak memanggil saya kerana saya masih dianggap ADUN Pembangkang”, tegasnya.

Jelani menegaskan, sekiranya tiada arahan sedemikian dikeluarkan secara hitam putih oleh JPNS atau PPD kepada pihak sekolah, maka pihak yang menggunakan nama JPNS atau PPD bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan sengaja mengelirukan rakyat.

Katanya, begitu juga dengan sesetengah jabatan dan agensi kerajaan yang masih beranggapan begitu termasuklah seorang Menteri.

“Jika isu ini benar, maka lebih baik saya Jadi ADUN pembangkang”, tegasnya.-pr/BNN