KOTA KINABALU: Cabaran Parti Warisan Sabah sekarang merupakan putaran peristiwa yang pernah dihadapi Parti Berjaya (1976) dan Parti Bersatu Sabah (1985) di mana kedua-dua fasa itu berjaya menumbangkan kerajaan.
Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin (gambar) berkata dengan itu, gerakan Warisan di pelbagai peringkat harus diperkuatkan lagi sebagai kesinambungan sambutan rakyat di seluruh negeri meski pada akhir-akhir ini terganggu oleh penahanan reman beberapa pemimpin kanan parti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata sempena genap setahun parti Warisan pada 17 Oktober 2017, usaha penggerak Warisan dari peringkat tertinggi sehingga ke Pusat Daerah Mengundi perlu dipertingkatkan lagi sebagai kesinambungan momentum sambutan rakyat ke atas jelajah, bicara pemimpin dan ramah mesra yang pernah diadakan selama setahun ini.
“Pelaksanaan program berjalan seperti biasa dengan tumpuan utama pucuk kepimpinan menemui seberapa ramai penyokong di kawasan pantai timur Sabah, pantai barat, utara, pedalaman dan bandar-bandar,” kata Honorsius.
Beliau menegaskan, masa berjalan begitu pantas dan tanpa disedari sambutan rakyat terhadap gerakan perjuangan Warisan kini menjadi ancaman kepada Barisan Nasional (BN) khususnya Umno dan parti-parti sekutunya.
Honorsius megulangi pesanan Shafie agar pendukung Warisan di seluruh negeri tetap tenang melaksanakan program parti walau sekecil lawatan dari rumah ke rumah kerana Warisan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan terutama sekali pilihan raya umum yang pasti diadakan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.
Menurut Honorsius, Warisan berpegang teguh kepada segala amanat yang telah dilafazkan Presiden Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyatakan bahawa perjuangan Warisan adalah untuk semua orang Sabah, semua kaum dan semua anutan agama.
“Selama ini pucuk pimpinan Warisan memperlihatkan bahawa gerakan mereka meliputi semua kawasan di mana Shafie banyak bergerak di kawasan pedalaman dan bandar-bandar, sementara Timbalan Presiden, Darell Leiking menjadi tetamu pelbagai perjumpaan di pantai timur dan Naib Presiden, Junz Wong menemui penduduk sehingga ke kawasan-kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau memaklumkan, Warisan menempatkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana parti memiliki urus setia yang menghimpunkan ramai panel penyelidik tentang kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Draf manifesto Warisan juga sudah disusun hasil penyelidikan kalangan pakar pelbagai bidang. Ia akan menjadi asas kepada parti mengembalikan kuasa rakyat Sabah ke atas pengurusan kekayaan negeri dan pengagihan peluang yang adil kepada semua orang asal Sabah,” kata Honorsius.
Honorsius menambah, Warisan dipimpin oleh presiden yang berpengalaman di peringkat kawasan, negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang menjadi aset kepada rakyat Sabah untuk memberi kemenangan kepada Warisan pada PRU14.-pr/BNN