Yahya tinjau projek Kompleks Perikanan

0
429

TINJAU…Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin (lima dari kanan) hari ini telah melawat tapak projek pembinaan Kompleks Perikanan Mini Ko-Nelayan Kuala Penyu yang menghadapi masalah kelewatan disiapkan.

Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury (empat dari kanan), Pengerusi Ko-Nelayan, Datuk Abd. Mijul Unaini (tiga dari kanan), Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Ahmad Awang Hashim (dua dari kanan), Pegawai Daerah Kuala Penyu, Encik Abd.Rahim Yacub, Setiausaha Politik Kementerian, Encik Ishar Ramli dan Encik Ewon Benedick (kanan) dan pegawai Ko-Nelayan, Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) dan juruperuding.

Terdahulu Yahya diberi taklimat mengenai masalah struktur yang dihadapi bagi menyiapkan projek itu oleh Ko-Nelayan, SEDIA dan juruperunding.

Bercakap kepada pemberita, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, masalah kelewatan penyiapan projek itu dijangka dapat diatasi tidak lama lagi.

Katanya, kerja-kerja penambahan cerucuk dan pembaikan struktur bangunan perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan piawaian ditetapkan dipatuhi sebelum projek pembinaan bangunan tersebut dilaksanakan.

Menurutnya, projek tersebut yang melibatkan kos RM7.9 juta terpaksa dihentikan sementara disebabkan faktor keselamatan. Projek itu dibahagi kepada dua fasa pembinaan, melibatkan pejabat pentadbiran ko-nelayan dan tempat pemunggahan hasil nelayan.

Serentak itu, Yahya telah mengarahkan SEDIA dan Ko-Nelayan mempercepatkan proses tindakan lanjut bagi mempercepatkan proses pembaikpulihan dan menyiapkan pembinaan kompleks sedia ada yang kini lebih 50 peratus siap dapat dilaksanakan selewet-lewatnya tahun depan bagi memberi manfaat kepada lebih seribu nelayan tradisional di Kuala Penyu dan Menumbuk.-pr/BNN