Tidak perlu ada pemantau antarabangsa PRU14-Budiman

0
78
Budiman Mohd Zohdi
Budiman Mohd Zohdi

KOTA KINABALU: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menggesa agar pemantau antarabangsa dijemput bagi menyaksikan perjalan Pilihan Raya Umum ke-14.

Gesaan tersebut turut diulangi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru baru ini.

Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Sungai Besar berkata gesaan yang dibuat pembangkang ini haruslah dilihat sebagai suatu bentuk ancaman kepada kedaulatan dan sistem demokrasi negara terutamanya selepas pertemuan pihak pembangkang yang diketuai Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad  bersama delegasi Kesatuan Eropah baru-baru ini yang antara lain turut membincangkan perihal PRU-14.

“Tidak pernah sejak 1957, negara ini didesak untuk tunduk kepada kuasa luar, termasuklah kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan sendiri proses pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.

Menurut beliau, cadangan tersebut juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk penghinaan dan percubaan untuk membunuh semangat kakitangan awam di bawah SPR. Jasa dan profesionalisme mereka tidak wajar dinafi dan diperlekehkan hanya kerana mahu memenuhi nafsu dan agenda tersembunyi pakatan pembangkang.

“Suruhanraya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai pengalaman menjalankan pilihan raya umum sebanyak 13 kali. Kewibawaan SPR tidak wajar dipertikai sama sekali.”

“Jika tidak, adakah mungkin pihak pembangkang berjaya menguasai beberapa buah negeri seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor? Adakah desakan yang dibuat mereka ini secara tidak langsung menyatakan kemenangan mereka di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga tidak sah?”

Sesungguhnya perjalanan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan secara telus memandangkan kesemua calon bertanding dibenarkan melantik ejen mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh mengundi dan kiraan undi, tegas beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Selangor.

“Rakyat Malaysia tidak mungkin lupa akan fitnah dan penipuan pembangkang dengan dakwaan 40 ribu pengundi Bangladesh dibawa masuk pada PRU yang lalu. Sesungguhnya permainan persepsi dan fitnah adalah suatu lumrah dan makanan harian pihak pembangkang.”

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak perlu mengundang campur tangan luar yang berselindung di sebalik topeng pemerhati dalam pilihan raya umum sepertimana desakan pembangkang, katanya lagi.

Melihat perkembangan ini, pihak pembangkang semakin menampakkan sikap seperti Si Kitul yang sanggup menggadai negeri membuka pintu kota di zaman kerajaan Melayu Melaka. Rakyat Malaysia seharusnya menolak petualang negara yang memandang rendah soal kedaulatan dan maruah negara tercinta ini.-pr/BNN