Manifesto Pakatan Harapan- Janji Vs Track Record

0
52
Datuk Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU; Pembangkang yang baharu mungkin bebas memberikan pelbagai janji manis namun kali ini berbeza dengan pembangkang yang bernama Pakatan Harapan.

Ini kerana mereka diketuai oleh para pemimpin ‘kitar semula’ yang masing-masing mempunyai rekod tahap prestasi kepimpinan sepanjang mereka berada dalam kerajaan dahulu.

Datuk Armizan Mohd Ali Ketua Pemuda UMNO Papar merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia betkata kalau diamati, `janji-janji harapan’ ini terikat dengan senarai panjang ‘bailouts’ kronisme Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata rakan-rakan Pakatan beliau sendiri dedahkan dahulu, masalah air rakyat Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar dari PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, skandal penjualan tanah dan kontroversi projek terowong dasar laut kerajaan `CAT’ DAP Lim Guan Eng.

Semua `ketirisan’ ini merupakan sebahagian daripada senarai panjang yang tidak boleh dikesampingkan dalam menilai janji-janji baharu mereka, kata Armizan.

“Begitu juga dengan sejauh mana rekod pencapaian kerajaan negeri Johor pimpinan bekas menteri besarnya yang ketika ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu berbanding kerajaan negeri Johor pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.”

“Demikianlah juga berapakah daripada 60 perkara ini yang pernah cuba dilaksanakan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika beliau memimpin Kedah? Azmin di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang? Sebelum tertipu dengan janji-janji baharu ini, rakyat haruslah menyelidiki dahulu sejauh mana rekod prestasi pimpinan Pakatan Harapan.”

Pembangkang yang berwibawa tidak akan dengan mudah mengukir janji-janji populis tanpa mengambil kira kapasiti dan kemampuan kerajaan untuk menunaikannya, kata Armizan.

“Yang hairannya dalam tempoh lima tahun pemerintahan sesebuah kerajaan, tidak dinyatakan daripada manakah sumber pendapatan yang mereka akan peroleh untuk menampung ‘janji-janji bulan dan bintang’ mereka?”

“Dan ketiga pula, mengetahui pentingnya undi rakyat Sabah dan Sarawak, segmen khusus disediakan pula dalam manifesto berkenaan untuk menabur harapan kosong kepada penduduk Borneo. Saya fikir rakyat Sabah sudah cukup mengenali kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir.”

Tempoh 22 tahun pentadbiran beliau telah cukup menginsafkan rakyat Sabah, katanya lagi.

Kita tidak mahu balik ke era apabila para pemimpin Sabah dianggap umpama kategori kelas ketiga yang sekadar layak mengisi kuota dalam Kabinet, dengan jawatan ‘TATAP’ Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tanpa portfolio yang strategik, beliau menambah.

Mengikut Armizan, dia tidak rela anak-anak di Sabah dibiarkan terus bersekolah di bangunan dan kelas daif serta usang.

“Hari ini keutamaan kita, antaranya, kita mahu sumber pendapatan yang lebih tinggi untuk negeri Sabah melalui hak percukaian, industri minyak dan gas serta penghakupayaan anak-anak Sabah dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam.’

“Kita telah beri ruang selama 22 tahun kepada Pengerusi Pakatan Harapan. Hari ini kita sudah ada pemimpin persekutuan yang memberikan harapan yang jauh lebih baik untuk Sabah.”

Menerusi kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau bukan sekadar memberikan janji-janji baharu tetapi beliau sudah mula meletakkan Sabah dan rakyatnya di tempat yang sewajarnya.

“Bukan sekadar retorik janji tetapi terpahat dalam rekod pencapaian, satu demi satu janji telah beliau tepati. Kita tidak mahu sekadar janji manis, yang kita tuntut adalah komitmen yang diterjemahkan dalam ‘track record’.”-pr/BNN

Datuk Armizan Mohd Ali