Damalee tidak lupa tanggungjawab sosial

0
119
Dr Nadiah (tengah, bertudung putih) dan suaminya bergambar bersama 44 anak-anak Madrasah Waqaf Islamiah Sabah Tanjung Aru dan kakitangan Damalee Group.

KOTA KINABALU: Walaupun telah berjaya dalam perniagaan sehingga mempunyai cawangan di luar negara dalam masa yang singkat, Damalee Group tidak pernah lupa akan tanggungjawab sosial korporatnya.

Seramai 44 orang anak-anak yatim daripada Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (MAWIS) Tanjung Aru diraikan di majlis berbuka puasa anjuran kumpulan perniagaan tersebut di ibu pejabatnya di Plaza Kingfisher di sini pada Jumaat.

Dr Nadiah Datuk Mohamad Nazri, Ketua Pegawai Eksekutif Damalee Signatures, salah satu perniagaan di bawah Damalee Group, berkata majlis berbuka tersebut merupakan antara aktiviti-aktiviti amal tahunan Damalee Group, sebagai “memberi balik” kepada komuniti, sejak ia memulakan perniagaan empat tahun lalu.

“Ini cara kita memberi balik kepada komuniti…kita sentiasa ingin memberi balik kepada komuniti bila kita dapat keuntungan lebih sikit,” katanya kepada pemberita. Dr Nadiah turut menyampaikan sumbangan kepada setiap anak-anak yang diraihkan semasa majlis tersebut.

Selain daripada sumbangan di bulan Ramadhan, Damalee Group juga ada membantu anak-anak yatim di Ranau memasuki alam persekolahan.

Damalee Group, yang terlibat dalam perekaan dan pembuatan pakaian Muslim melalui Damalee Signatures, selain perniagaan pakej perkahwinan, fotografi dan pusat gym, turut mempunyai cawangan di Brunei Darussalam dan Singapura.

Studio fotografinya turut membantu ramai para peniaga tempatan lain di negeri ini dalam mengembangkan perniagaan mereka di internet. pr/BNN