Anggota UMNO harus kekal dalam parti

0
580
Hajiji bersama kepimpinan UMNO negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Anggota UMNO di Sabah perlu terus kekal bersama parti dan kepimpinan baharu, berjuang membela nasib rakyat negeri ini, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, walaupun UMNO kini adalah pembangkang, status itu tidak melunturkan semangat ahli-ahli untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan hak-hak serta kepentingan negeri Sabah.

Beliau berkata, pemimpin dan anggota UMNO Sabah kini terdiri daripada pejuang-pejuang yang bermaruah, ikhlas dan setia mendokong perjuangan UMNO.

“Anggota UMNO Sabah tidak goyah dan memegang prinsip  perjuangan UMNO yang sebenar.

“UMNO akan jadi pembangkang  yang berwibawa dan konstruktif.  Kita akan menjadi pemantau bagi rakyat”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO, hari ini.

Mesyuarat itu merupakan yang pertama  dipengerusikan oleh Hajiji setelah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, selepas pemilihan UMNO 2018.

Turut hadir ialah Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Bendahari baharu, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Panglima Dr.Salleh Said Keruak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.

Hajiji berkata mantan Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang telah melompat dan bergabung dengan Warisan dan PKR merupakan Wakil Rakyat yang tidak berprinsip.

“Mereka telah menghianati mandat yang telah diberikan oleh penyokong dan pengundi BN/UMNO. Hanya kerana  mengejar kepentingan peribadi dan juga jawatan, mereka meninggal BN/UMNO.

“Pembelot-pembelot ini pasti akan dihukum oleh pengundi mereka dan juga rakyat “, tegasnya.

Hajiji turut mengumumkan perlantikan pengerusi-pengerusi  biro-biro UMNO Negeri Sabah.-Oleh L.S Kuang/BNN