Musa akan pulang tanpa paksaan

Musa semasa menjalani rawatan di London. Turut kelihatan anaknya Yamani Hafez. (Gambar FB Joh Wid)

0
126

KOTA KINABALU: Tan Sri Musa Haji Aman akan pulang ke tanah air  dalam tempoh terdekat ini tanpa paksaan mana-mana pihak, setelah menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London.

Mantan Setiausaha Politiknya, Joh Wid berkata, ADUN Sungai Sibuga telah membuat keputusan akan kembali ke tanah air walaupun tindakan ini bertentangan dengan nasihat doktor pakar yang merawatnya di sana.

“Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Inilah perumpamaan tentang kepulangan Musa ke tanah air ” , katanya.

Namun menurut beliau, sebelum itu Musa perlu dirujuk ke Mount Elizabeth Hospital Singapura untuk menerima rawatan susulan.

“Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu.

“Di hospital itu, beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil.

“Perkara ini saya nyatakan untuk menjelaskan bahawa beliau bukan melarikan diri, beliau sebenarnya memerlukan rawatan”, kata Joh dalam posting terbarunya di FB beliau.

Joh turut berkongsi gambar Musa semasa menjalani rawatan di London.

Menurut Joh Wid, Musa tidak pernah mendedahkan kepada umum termasuk pegawainya bahawa beliau sakit ketika menjawat jawatan Ketua Menteri.

“Beliau tidak mahu memperlihatkan pemimpin sebagai orang yang lemah. Mungkin jika ini didedahkan ia akan menghilangkan keyakinan rakyat, parti pimpinannya malah mungkin pelabur asing terhadap reputasi kedudukan politik dan ekonomi negeri Sabah.

“Setelah isu perlantikan Ketua Menteri yang lalu, beliau merasa inilah masa yang sesuai untuk beliau berehat dan menerima rawatan yang terbaik untuk kesihatannya.

“Kini, tiba masanya dia akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa paksaan mana-mana pihak”, tegasnya

Joh yang juga mantan pegawai khas berkata, Musa sentiasa menasihatkan bahawa kita perlu ikhlas melaksanakan tanggungjawab kita demi kepentingan negara, negeri dan rakyat khususnya di negeri Sabah.

“Beliau kuat bekerja dan begitu teliti tentang pengurusan kewangan dan sanggup korbankan kepentingan kesihatan dirinya sendiri demi negeri Sabah.

Joh yang telah melawat Musa di Hospital di Kota London turut mengajak rakyat agar bersama doakan semoga Musa cepat sembuh seperti biasa dan diberi kekuatan. -L.S.Kuang/BNN