UMNO Sabah tetap kuat dan utuh

0
79
Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid.
KOTA KINABALU:  UMNO Sabah tetap kuat dan utuh walaupun Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Seri Anifah Aman mengambil keputusan meninggalkan UMNO.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata, keputusan Anifah itu tidak menjejaskan keyakinan ahli-ahli UMNO terhadap perjuangan parti.
“UMNO Sabah tetap utuh dan kuat. Dalam UMNO dan begitu juga parti politik yang lain, pemimpin datang dan pergi. Apabila seorang pemimpin meninggalkan parti maka tempatnya akan diganti atau diisi oleh pemimpin pelapis yang lain.
“Justeru apa yang berlaku dalam UMNO sekarang (Anifah keluar daripada UMNO) ia merupakan satu proses yang dapat membantu memantap dan menguatkan lagi perjuangan UMNO di Sabah”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jainab berkata, Wanita Umno Sabah menghormati keputusan Anifah yang memilih haluan politik sendiri setelah sekian lama bersama UMNO.
Semalam Anifah yang juga  Ahli Parlimen Kimanis mengumumkan meninggalkan Umno kerana ia tidak lagi boleh memenuhi janji memulihkan hak Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Jainab juga optimis ahli-ahli UMNO Sabah tidak berputus harapan dengan situasi yang melanda UMNO pada masa ini.
Jainab bersetuju dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa apa yang berlalu bukan tanda pengakhiran UMNO memandangkan masih ada lagi pemimpin yang komited malah tabah dan sabar untuk memulihkan parti.
Jainab yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar berkata, UMNO Sabah akan terus memperjuangkan kepentingan dan hak-hak rakyat negeri ini termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli UMNO agar terus setia dengan perjuangan parti.-Oleh LSK/BNN