Teruskan bantuan subsidi pesawah-Japlin

0
60
Bersembang....Beberapa pesawah di Mukim Kulambai, Usukan Kota Belud sedang berbincang dengan Japlin mengenai subsidi untuk petani yang dikurangkan pada Bajet Negara Pakatan Harapan 2019 baru-baru itu. Dari kanan Sairan Sidek, 76 tahun, Japlin (dua kanan), Salin alik, 55 tahun (kiri sekali) dan Hantar Hullad (dua kiri).
Hantar Hullad bersama para pesawah melihat padi yang ditanam untk Pusat Pembenihan Padi di Kampung Tangjong Batu Dua, Kulambai Kota Belud.

KOTA BELUD: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta meneruskan bantuan subsidi kepada golongan pesawah khususnya di kawasan Kota Belud bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, beliau menerima aduan mengenai bantuan subsidi yang dikurangkan oleh kerajaan hari ini menyebabkan kerja-kerja membajak sawah dan menuai padi tergendala.

Menurut beliau, kerajaan baharu sekarang sewajarnya prihatin dengan masalah golongan penanam padi kerana mereka merupakan penggerak utama kepada bekalan padi negara.

“Saya menerima aduan daripada penduduk dari Kampung Tanjong Batu 2 Kulambai, Dun Usukan mengenai pemotongan bantuan subsidi kepada mereka sekali gus menyebabkan proses pengeluaran padi tergendala.

“Sehubungan itu kita meminta kerajaan baharu hari ini agar lebih bertanggungjawab sejajar dengan slogan mereka untuk membela dan memberi banyak bantuan seperti yang dijanjikan pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan dengan para pesawah di Kampung Tanjong Batu Dua, Kulambai, Kota Belud semalam.

Beliau berkata, dengan pendapatan RM12,000 untuk satu musim menuai padi adalah tidak mencukupi memandangkan kos bagi kerja-kerja penanaman padi hari ini semakin meningkat. Ini termasuk kos membajak, meracun, membaja dan menuai

Katanya, kerajaan Barisan Nasional dahulu menyediakan berjuta-juta ringgit dalam berbagai bentuk bagi pembangunan Jelapang Padi Kota Belud termasuk pembinaan dan penyelenggaraan sistem perparitan, subsidi membajak, harga padi dan baja.

“Semua ini dilaksanakan bagi menjadikan Kota Belud Jelapang Padi di negeri Sabah dan pada masa yang sama memberi sumber pendapatan kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang petani yang terlibat.

“Malah matlamat bantuan itu diharapkan dapat menyumbang kepada keluaran beras negara sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import,” katanya.

Beliau mempertikaikan pendekatan kerajaan PH hari ini yang seolah-olah cuba meminggirkan golongan petani dan nelayan apabila tidak menyediakan peruntukan mencukupi bagi membantu mereka.

“Kita bimbang dengan masa depan Jelapang Padi Kota Belud ini apabila kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak ada tanda-tanda mahu menyatakan komitmen bagi menambah peruntukan berbanding kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Sebaliknya apa yang kita dengar kerajaan hari ini mahu menghapuskan bantuan-bantuan dan subsidi yang golongan petani nikmati sebelum ini. Jika benar maka malanglah nasib golongan petani di sini,” ujar beliau.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan ialah bukan sahaja 10,000 hektar sawah di Kota Belud kelak akan menjadi tanah terbiar, malah sekurang-kurangnya 2,000 orang petani di Kota Belud akan kehilangan sumber pendapatan.

“Agak menyedihkan apabilan Belanjawan 2019 tidak memberi penekanan kepada golongan petani, penternak dan nelayan. Ini amat mengecewakan. Saya amat berharap kerajaan baharu ini akan terus komited membela nasib petani dengan terus memberi bantuan dan kemudahan kepada para petani terutama yang terlibat dalam pelaksanaan projek Jelapang Padi Sabah ini.

Daerah Kota Belud merupakan kawasan tanaman padi yang paling luas di negeri Sabah yang seluas 10,000 hektar tanah sawah tersedia untuk diusahakan. Bayangkan tanpa subsidi petani kita hanya mampu mandapat keuntungan bersih RM200 seekar untuk semusim.

Kalau purata keluasan sawah setiap petani 3 ekar maka pendapatan bersih mereka hanyalah RM600 semusim atau RM100 sebulan. Bagaimana mereka mahu menyara keluarga dengan pendapatan seperti itu,” katanya.

Jesteru, beliau meminta supaya kerajaan baharu hari ini meneruskan semua bentuk bantuan seperti yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu supaya golongan petani, penternak dan nelayan dapat meneruskan kegiatan mereka dalam bidang pertanian.

“Jika rakyat tidak ada harapan lagi untuk mendapat bantuan daripada kerajaan PH. Maka saya barharap agar kerajaan Pakatan Warisan akan dapat bertindak memberi bantuan kepada golongan ini,” katanya lagi.

Menurut Ketua Penyelaras Petani-petani Mukin Kulambai, Kota Belud hantar Hullad berkata kos membajak sudah meningkat RM280 dan kos menuai RM240 untuk setiap kawasan tanah yang hendak dibuat.

Pada masa sekarang kontraktor  yang kontrak untuk membajak meminta wang pendahuluan terlebih dahulu RM80 baru mereka mahu membajak di sawah para petani di Mukim Kulambai ini. Kawasan ini sahaja lebih kurang 300 ekar tanah diusahakan untuk penanam padi.

Keseluruhan kawasan Kota Belud sejumlah 10,000 hektar disediakan tetapi hanya 5,000 sahaja diusahakan untuk kawasan Jelapang Padi,” ujarnya.

Baru-baru ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan menarik balik pemberian subsidi kepada golongan nelayan dan petani, biarpun terdapat pengurangan peruntukan terhadap kementerian itu dalam Belanjawan 2019.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub yang memberikan jaminan berkenaan berkata, pihaknya sebaliknya hanya akan melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak, me­nerima subsidi berkenaan.-pr/BNN