Ahli peladang Sabah gesa KP LPP maklum prestasi perniagaan NAFAS 2018

0
1427
Dato' Mohd.Nazri Abdullah (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat jemaah pengarah PPN Sabah.-Gambar Liaw Sin Kuang/BNN

PENAMPANG: Ahli-Ahli  Peladang di Sabah meminta Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang  (LPP) memaklumkan mereka mengenai prestasi perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi tahun 2018.

Pengerusinya, Dato’ Mohd.Nazri Abdullah berkata, ahli-ahli peladang seluruh negara termasuk Sabah berhak untuk mengetahui prestasi perniagaan dan keuntungan yang diperolehi oleh NAFAS bagi tahun 2018,  setelah LPP selaku pendaftar menggantung Perlembagaan Nafas sejak 1 Jun 2018.

Katanya, ahli-ahli PPNS selaku pemegang saham NAFAS ingin tahu kedudukan dan prestasi pencapaian perniagaan NAFAS bagi tahun kewangan 2018 setelah ianya ditadbir oleh  Ketua Pentadbir NAFAS (Razana binti Haji Ghazali).

“Ini memandangkan NAFAS mencatat prestasi yang sangat memberangsangkan pada tahun 2017 dengan merekodkan perolehan kumpulan sebanyak RM 1.23 bilion dan untung  bersih kumpulan sebanyak RM 134.60 juta.

“Sementara perolehan pertubuhan bagi tahun 2017 ialah sebanyak RM 748.44 juta dengan untung bersih pertubuhan sebanyak RM 112.21 juta”, katanya.

Mohd. Nazri berkata demikian kepada para pemberita setelah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPNS Bil.1/2019 di bilik mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penampang di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan dalam buku Mesyuarat Agung NAFAS yang lalu, perolehan kumpulan bagi tahun 2016 ialah sebanyak RM 1.20 bilion dengan untung bersih kumpulan sebanyak RM 149.05 juta.

Sementara perolehan pertubuhan bagi tahun 2016 ialah RM776.23 juta dan untung bersih pertubuhan (2016) sebanyak RM107.12 juta.

Mohd. Nazri berkata, PPNS ingin mengetahui kedudukan kewangan dan juga jumlah keuntungan yang dicatat oleh NAFAS sama ada bagi kumpulan dan pertubuhan untuk tahun kewangan 2018.

Katanya, ahli-ahli peladang Sabah bimbang kerana tindakan penggantungan perlembagaan dan operasi NAFAS mungkin menjejaskan perolehan dan keuntungannya bagi tahun lalu.

Menurutnya, mengikut  Seksyen 24A (2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada Pertubuhan Peladang (NAFAS) akibat penggantungan itu, maka Ketua Pengarah LPP, Ketua Tadbir NAFAS dan Pegawai-Pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS boleh dikenakan “surcharge” dibawah seksyen tersebut.

Sehubungan itu, ahli-ahli peladang meminta Kerajaan Persekutuan menyiasat  pegawai berkenaan kerana keputusannya menggantung Perlembagaan NAFAS telah menyebabkan kerugian yang secara tidak langsung mensabotaj Kerajaan Pakatan Harapan yang baharu.

“Kita tidak mahu kepentingan NAFAS dan peranan memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan ahli-ahli NAFAS terjejas akibat penggantungan itu”, tegasnya.

Beliau berkata, Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dibawah pimpinan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan seterusnya oleh Dato’ Sri Saipolbahari Haji Suib serta pengurusan lama pertubuhan itu diketuai oleh Pengurus Besarnya,  Dato’ Bukhari Mohd Sawi, Dato’ Ab Rahman Ismail dan Haji Nordin Ibrohim (sebelum digantung) telah berjaya memastikan pertubuhan itu mencatat keuntungan yang sangat positif setiap tahun.

Berdasarkan rekod, dari dahulu hingga tahun 2017, NAFAS tidak pernah mengalami kerugian, malah keuntungan semakin meningkat setiap tahun. Sebagai contoh bermula tahun 2013 hingga 2017 untung bersih NAFAS direkotkan lebih RM100 juta.

LPP telah menggantung  Perlembagaan NAFAS berkuat kuasa 1 Jun lalu.  Perintah penggantungan itu dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Penggantungan itu membabitkan kuasa dan tindakan pentadbiran yang digantung perlembagaan. Dalam tempoh penggantungan, Pendaftar PP melantik Ketua Pentadbir mengikut Seksyen 23 Akta Pertubuhan Peladang 1973 untuk menguruskan hal ehwal NAFAS.

NAFAS merupakan salah satu entiti dibawah pemegang sahamnya adalah 14 Pertubuhan Peladang negeri negeri dan mempunyai keahlian hampir kira-kira 1 juta orang.-Oleh LSK/BNN