Graduan diminta tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian

0
122

KOTA KINABALU : Para graduan diminta supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki sebaliknya meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Tahniah…Dr Bustam dan Dr Morni menyampaikan penghargaan kepada salah seorang graduan daripada 397 graduan yang menerima diploma masing-masing

Penasihat Luar Bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej SIDMA Sabah, Dr. Bustam Kamri berkata, golongan graduan sewajarnya menjadikan diploma yang diperolehi sebagai permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam pelbagai bidang.

“Bagi mereka yang telah bekerja masih boleh meneruskan pengajian. Banyak IPT menawarkan peluang meneruskan pengajian kepada mereka yang sedang bekerja.

“Adakah anda akan berhenti setakat ini? Ini adalah permulaan dalam dunia akademik. Kelulusan diploma ini melayakkan anda meneruskan langkah untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Konvokesyen Kolej SIDMA Kali Ke-5 di Magellan Sutera di sini semalam.

Pada majlis itu sebanyak 397 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Turut hadir ialah Pengasas Dan Pengerusi, Lembaga Pengarah SIDMA, Prof Dr. Morni Kambrie.

Dalam majlis ini seramai 397 graduan dari Kolej Sidma Sabah telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak pada Majlis Konvokesyen Sidma kali ke-5.

Anugerah Pengerusi Sidma 2018 telah diberikan kepada Chong Tsin Tsin dan Clarissa Rainer Mijin menerima Anugerah Pelajar Terbaik

Menurut Bustam, mereka boleh memilih sama ada melanjutkan pelajaran di dalam negara atau di luar negara.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai panel MQA yang membangunkan program standard pendidikan awal kanak-kanak Malaysia sebenarnya tidak ada perbezaannya antara kandungan kursus yang ditawarkan oleh IPT tempatan dengan IPT luar negara.

“Kadangkala apa yang dipelajari di luar negara tidak dapat diaplikasikan di negara sendiri. Ini disebabkan kurilulumnya bukan untuk keperluan negara kita,” katanya.

Malah, katanya, kualiti pendidikan yang ditawarkan di Kolej SIDMA yang muncul sebagai satu-satunya kolej pertama di Sabah yang memberi fokus kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak setara dengan apa yang ditawarkan oleh IPT luar negara.

“Menjelang tahun 2020 mereka yang terlibat dengan pendidikan awal kanak-kanak disyaratkan mempunyai diploma pendidikan awal kanak-kanak.

“Guru-guru di tadika tidak lagi hanya bergantung kepada pengalaman dan kelulusan yang minima. Sudah sampai masanya anak-anak kecil di tadika dididik oleh mereka yang benar-benar berkelayakan dan berilmu,” tambah beliau.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa kelayakan dan keilmuan sahaja tidak mencukupi tetapi perlu mempunyai sikap berdidikasi dan minat yang tinggi dalam bidang tersebut.

Turut hadir sama Pengerusi SIDMA College Dr.  Morni Kambrie, Ketua Pegawai Eksekutif SIDMA College Sabah, Azizah Khalid Merican, Pengarah Perhubungan Koporat dan Pembangunan Perniagaan SIDMA College Sabah Azalina Ngatimim serta pensyarah dan para graduan yang menerima diploma masing-masing berserta dengan ibu bapa.-pr/BNN