PPK Rompin, PPN Pahang yakin NAFAS mampu bayar 30% dividen saham 2018

0
566
Dato' Haji Md Rusli bin Ismail
ROMPIN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang yakin  Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mampu membayar dividen saham 2018 sebanyak 30%  kepada para pemegang sahamnya seperti Tahun 2017.
Pengerusinya, Dato’ Haji Md Rusli bin Ismail berkata, beliau optimis dengan kemampuan NAFAS kerana pertubuhan itu mencatat keuntungan yang terus meningkat setiap tahun.
“NAFAS telah membayar 30% dividen saham pada tahun 2017  kepada para pelaburnya. Justeru kita mengharapkan bayaran dividen pada kadar yang sama untuk tahun 2018.
“Saya percaya sasaran ini boleh dicapai apatah lagi NAFAS yang telah digantung Perlembagaannya sejak Jun 2018, kini ditadbir oleh Ketua Pentadbir yang dilantik oleh Ketua Pengarah LPP”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPN Pahang yakin, penggantungan perlembagaan itu tidak akan menjejaskan prestasi perniagaan NAFAS.
Menurutnya, sebarang kesalahan tadbir urus perniagaan oleh pihak pentadbir yang dilantik oleh Ketua Pengarah LPP boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.
Mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada Pertubuhan Peladang (NAFAS) akibat penggantunga itu, maka Ketua Pengarah LPP, Ketua Tadbir NAFAS dan Pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.
Md Rusli berkata, NAFAS  merupakan nadi  kepada seluruh ahli peladang di negara ini, justeru jika tidak  diurus  dan  ditadbir dengan baik maka  akan lumpuhlah seluruh ahli-ahli peladang.
NAFAS merupakan sebuah entiti dengan pemegang sahamnya terdiri daripada 14 buah Pertubuhan Paladang Negeri (PPN)  dan mempunyai keahlian hampir kira-kira 1 juta orang.-pr/BNN