KUCHING: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak [PPNS], Datuk Sylvester Entri Muran, meminta agar Pertubuhan Peladang Kebangsaan [NAFAS] meneruskan agihan dividen 10% yang telah diagihkan selama 5 tahun berturut-turut untuk tahun 2018.
Beliau berkata, NAFAS telah digantungkan Perlembagaannya oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang [LPP] pada Jun 2018 dan telah ditakbir dibawah jagaan Ketua Pentadbir yang dilantik dari pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP]. Seterusnya semua pegawai yang membantu mengurus tadbir NAFAS dalam waktu penggantungan adalah terdiri dari pegawai-pegawai LPP.
“Dengan penggantungan tersebut, adalah dikhuatiri ia akan menjejaskan semua urusniaga dan keuntungan NAFAS bagi tahun kewangan 2018. Selanjutnya akan menjejaskan kadar dividen yang harus diagihkan kepada pelabur DPK.
“Justeru, PPN Sarawak yang mempunyai 28 Pertubuhan Peladang Kawasan [PPK] dengan ahli seramai 171,335 orang meminta NAFAS, dibawah tadbiran Puan Razana binti Hj Ghazali yang dilantik terus oleh Ketua Pengarah LPP sebagai Ketua Pentadbir, supaya bertanggungjawab untuk mengekalkan dividen sebanyak 10% diatas pelaburan DPK seperti sebelum ini”, katanya.
Sylvester berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Pengerusi LPP Malaysia, Dato’ Mazlan Aliman bersama pemimpin peladang negeri Sarawak di Kuching, hari ini.
Menurutnya, ahli-ahli peladang seluruh negara, termasuk dari Sarawak berhak untuk mengetahui prestasi perniagaan dan keuntungan yang diperolehi oleh NAFAS setelah penggantungan Perlembagaan oleh LPP selaku pendaftar.
Persoaalan yang membimbangkan oleh beliau, sebagai Pengerusi PPN Sarawak ialah , mampukah NAFAS mengekalkan agihan dividen sebanyak 10% seperti sebelum ini?
Seterusnya, Sylvester menjelaskan bahawa NAFAS telah mencatatkan prestasi yang sangat memberansangkan pada tahun 2017 dengan rekod perolehan kumpulan sebanyak RM1.23 billion dengan untung bersih kumpulan sebanyak RM134.60 juta.
Sementara perolehan pertubuhan bagi 2017 adalah sebanyak RM748.44 juta dengan untung bersih pertubuhan sebanyak RM112.21 juta.
Menurutnya, berdasarkan laporan dalam buku Mesyuarat Agung NAFAS yang lalu, perolehan kumpulan bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM1.20 billion dengan untung bersih kumpulan sebanyak RM149.05 juta.
Sementara perolehan pertubuhan bagi tahun 2016 adalah RM776.23 juta dan untung bersih pertubuhan (2016) sebanyak RM107.12 juta.
Dengan yang demikian, ahli-ahli peladang Sarawak turut bimbang kerana tindakan penggantungan perlembgaan NAFAS mungkin menjejaskan perolehan dan keuntungan bagi tahun lalu.
Menurutnya, mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada Pertubuhan Peladang (NAFAS) akibat penggantunga itu, maka Ketua Pengarah LPP, Ketua Tadbir NAFAS dan Pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS boleh dikenakan ‘surcharge’ dibawah seksyen tersebut.
Sehubungan itu, ahli-ahli peladang meminta Kerajaan Persekutuan menyiasat Pegawai berkenaan kerana keputusannya menggantung perlembgaan NAFAS telah menyebabkan kerugian yang secara tidak langsung mensabotaj Kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.
“Kita tidak mahu kepentingan NAFAS dan peranannya memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan ahli-ahli NAFAS terjejas akibat pergantunggan itu”, katanya.
Beliau berkata, Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dibawah pimpinan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan seterusnya dibawah Dato’ Sri Saipolbahari Hj Suib serta pengurusan lama Pertubuhan itu yang diketuai Pengurus Besar Dato’ Bukhari Mohd Sawi, Dato’ Abdul Rahman Ismail dan Haji Nordin Ibrohim (sebelum digantung) telah berjaya memastikan pertubuhan itu mencatatkan keuntungan yang sangat positif setiap tahun.
Berdasarkan rekod, dari dahulu sehingga 2017, NAFAS tidak pernah mengalami kerugian, malah keuntungan semakin meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, bermula 2013 hingga 2017, untung bersih NAFAS direkodkan lebih RM100 juta.
LPP telah menggantung Perlembagaan NAFAS berkuatkuasa 1 Jun 2018. Perintah pergantunggan itu dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (LPP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.
Penggantungan itu membabitkan kuasa dan tindakan pentadbiran yang digantung perlembagaan. Dalam tempuh penggantungan, Pendaftar PP melantik Ketua Pentadbir mengikut Seksyen 23 Akta Pertubuhan Peladang 1973 untuk menguruskan hal ehwal NAFAS.
NAFAS merupakan salah satu entiti dibawah pemegang sahamnya adalah 14 Pertubuhan Peladang Negeri dan mempunyai keahlian hampir kira-kira 1 juta orang.-Oleh LSK/BNN