KOTA KINABALU: Ahli-ahli Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Wilayah Borneo membantah dan menolak pelaksanaan Warta Kerajaan Persekutuan: Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang akan dikuatkuasa mulai 1 Mei 2019.
PPN wilayah Borneo yang terdiri daripada PPN Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga sebulat suara tidak akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga warta ini di tarik balik.
Dalam sidang akhbar bersama di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd. Nazri Abdullah berkata, PPN Wilayah Borneo sebulat suara menolak pelaksanaan peraturan-peraturan tersebut kerana membelakangkan kepentingan ahli-ahli peladang selaku pemegang saham PP.
“Kami sebulat suara menolak Warta Kerajaan Persekutuan mengenai Peraturan-Peraturan PP (Pindaan) 2019 sehingga perkara-perkara yang dibantah diselesaikan oleh pihak berkaitan.
“Kami terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Kementerian Pertanian kerana tindakan yang diambil (pindaan terhadap peraturan-peraturan PP) bukan membantu PP, sebaliknya menyusahkan perjalanan PP”, katanya.
Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh ahli yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima ahli lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda dan seorang lagi merupakan Peladang Nita.
Bagi AJP PPN pula, empat ahli dipilih melalui mesyuarat agung tahunan manaka lima lagi ahli dilantik oleh menteri dan pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.
Lantikan AJP Nafas pula, lima ahli dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan enam ahli dilantik oleh menteri manakala pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.
Warta yang dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub itu akan dikuatkuasakan pada 1 Mei ini.
Mohd.Nazri meminta Menteri Pertanian menatik balik atau menangguhkan penguatkuasaan warta berkenaan.
Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, pindaan yang dibuat tidak menguntungkan ahli-ahli PP, dan tidak membantu menjana pendapatan atau keuntungan kepada PP.
“Ternyata transformasi dan reformasi yang dibuat menerusi warta itu cuma untuk kepentingan pihak tertentu. Dengan itu kami PPK dari Sarawak sepakat dengan PPK dari Sabah dan Labuan menolak dan membantah pelaksanaan peraturan-peraturan baharu itu.
“Kami mohon pihak Menteri Pertanian melihat kembali tindakan yang akan dilaksanakan itu, supaya mengambil tindakan membatal dengan serta merta warta berkenaan”, katanya.
Sementara AJP PPN Labuan, Encik Bungso Mohamad yang mewakili PPN Labuat berkata, pelaksanaan warta itu tidak menyenangkan, malah menyulitkan keadaan PP.
Katanya, Menteri Pertanian sepatutnya mendengar keluhan dan suara daripada pimpinan bawahan khususnya PP, PPK dan PPN.
“Jangan hanya meluluskan sesuatu warta tanpa merujuk, berunding dan berbincang dengan pihak yang berkepentingan terutama ahli-ahli PP”, tegasnya.
Beliau meminta agar warta itu ditangguhkan pelaksanaannya demi kepentingan ahli-ahli peladang seluruh negara.-pr/BNN