Jangan lupa jasa pasukan keselamatan-Japlin

0
386
Sumbangan... Japlin menyerahkan juadah berbuka puasa kepada Mohd Sharif Jairee sambil diperhatikan oleh Tajuddin Padis dan Dr Morni Kambrie di Balai Polis Daerah Kota Belud bersama anggota-anggota polis IPD Kota Belud semalam

KOTA BELUD:Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, Datuk Japlin meminta masyarakat setempat supaya tidak melupakan jasa anggota pasukan keselamatan yang tidak pernah jemu berkhidmat untuk kesejahteraan negara walaupun pada musim perayaan.

Beliau berkata setiap individu perlu mempunyai kesedaran untuk menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa.

“Rakyat harus ingat bahawa keamanan dan pembangunan pesat yang dinikmati kini merupakan hasil perjuangan pasukan keselamatan menentang musuh. Pelbagai cara boleh ditunjukkan oleh rakyat negara ini untuk menghargai jasa pasukan keselamatan.

“Pengorbanan dan jasa mereka perlu dihargai kerana peranan mereka amat besar dan tidak dapat dibandingkan dengan wang ringgit atau sebagainya. Kerana mereka, kita semua dapat menikmati kehidupan yang selesa pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan juadah berbuka puasa untuk anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud semalam.

Majlis penyerahan juadah puasa diwakili oleh Ketua Cawangan Khas Daerah IPD Kota Belud ASP Mohd Sharif Jariee yang mewakili Ketua Polis Daerah Kota Belud.

Turut hadir Ketua bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Belud ASP Tajuddin Padis, Pengerusi Kolej Sidma Sabah, Dr Morni Kambrie, Ketua Penaja Srikandi Bersatu Kota Belud Hasrina Golkan, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Timbang Dayang Idris Yakub, wakil amil Pusat Zakat Sabah cawangan Kota Belud Atong Ibrahim serta masyarakat setempat.

Menurut beliau setiap individu perlu bijak merancang perbelanjaan mereka bagi mengelak sebarang bentuk pembaziran hanya kerana terlalu menurutkan hawa nafsu terutama sepanjang bulan Ramadan ini.

Katanya amalan berjimat cermat penting diamalkan oleh setiap umat Islam kerana ia dituntut oleh agama

“Sikap suka berbelanja dan terlalu mengikut nafsu terutama ketika membeli juadah berbuka puasa misalnya, merupakan amalan negatif yang wajar dikikis.

“Dalam bulan Ramadan seharusnya kita cuba untuk mengawal perbelanjaan dan bukannya mengikut nafsu. Belilah keperluan berbuka mengikut kemampuan. Kita perlu berbelanja mengikut keperluan dan ia merupakan satu langkah yang bijak ke arah merancang perbelanjaan terutama bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai,” katanya.

Beliau turut berbuka puasa bersama masyarakat dan solat maghrib berjemaah serta solat Isyak dan terawih di Masjid Jamek Kampung Timbang Dayang Kota Belud.

Tambahnya, kerajaan sememangnya, amat peka dan prihatin keatas nasib mereka yang kurang berkemampuan.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk menjadikan aktiviti membantu golongan tidak bernasib baik sepanjang bulan Ramadan ini sebagai budaya sepanjang

“Amalan seperti itu tidak wajar cuma diadakan pada bulan Ramadan sahaja tetapi dihari-lain,” katanya

Dalam majlis itu juga, Japlin menyampaikan bantuan zakat kepada tiga orang penerima daripada 25 orang dan setiap seorang menerima RM200.00.

Beliau turut menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa untuk para jemaah di masjid tersebut.-pr/BNN