
KENINGAU: Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme terus diperkukuh menerusi penganjuran Minggu Kesedaran Autisme dan Program “Speak With Me” 2026 oleh Klinik Kesihatan Bingkor, baru-baru ini.
Program bertemakan “Autism & Humanity – Every Life Has Value” itu menekankan kepentingan penerimaan, empati dan penghargaan terhadap setiap individu tanpa mengira keupayaan, selain menggalakkan masyarakat memahami realiti kehidupan individu autistik serta keluarga mereka.
Majlis perasmian dan penutupan yang berlangsung di Ruang Menunggu MCH Klinik Kesihatan Bingkor itu dirasmikan Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd, Datuk Azman Hj Ruslan, selain dihadiri Pengerusi Panel Penasihat Pusat Klinik Kesihatan (PPKK) Bingkor, Dairian Karim dan Timbalan Pengerusi, Wong Jakol Langkab.
Sepanjang minggu kesedaran berkenaan, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pengisian berkaitan autisme, perkongsian maklumat serta aktiviti interaksi bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keperluan dan cabaran dihadapi individu autistik serta keluarga mereka.
Program turut diserikan dengan kuiz dalam talian dan penyampaian hadiah kepada pemenang, selain sesi perkongsian serta aktiviti bersama warga klinik dan peserta.
Penganjuran program diketuai Dr Ganesh Kumar selaku pengerusi bersama jawatankuasa pelaksana yang memastikan kelancaran keseluruhan aktiviti.
“Speak With Me” 2026 bukan sahaja menjadi platform memperluas pengetahuan mengenai autisme, malah memperkukuh budaya inklusif menerusi sikap prihatin, penerimaan dan sokongan terhadap golongan berkeperluan khas, selaras dengan mesej bahawa setiap kehidupan mempunyai nilai, keupayaan dan potensi tersendiri yang wajar dihargai.-pr/BNN




