Jainab nasihat pemandu e-panggilan, utamakan keselamatan diri

0
509
Jainab (tengah) bersama-sama AJK Wanita UMNO Bahagian Sepanggar yang terlibat dalam program pengagihan bubur kacang kepada orang awam
Jainab mengagih-agihkan bubur kacang kepada orang awam di Kg Likas.

KOTA KINABALU:  Para pemandu E-Panggilan (e-hailing) di negeri ini perlu mentiasa mengutamakan keselamatan diri, semasa menyediakan perkhidmatan kepada penumpang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Hajah Dr.Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Katanya, soal keselamatan perlu menjadi keutamaan setiap pemandu e-panggilan berikutan kejadian rompakan-bunuh seorang pemandu Grab di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, kes rompak dan bunuh pemandu Grab amat mengejutkan semua pihak terutama para pemandu e-panggilan kerana suspek tergamak bertindak begitu kejam.

“Justeru mungkin para pemandu e-panggilan perlu mengelak daripada mengambil penumpang pada waktu tengah malam atau subuh yang melibatkan destinasi kawasan panas.

“Terutama dari dan ke lokasi kawasan-kawasan panas yang dikenalpasti oleh pihak keselamatan”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan gotong royong memasak dan membungkus bubur kacang dan pisang Sabah untuk diagih-agihkan ke masjid-masjid di kediaman Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Sepanggar, Puan Saminah di Kampunh Likas, semalam.

Antara Lokawi-lokasi kawasan hitam yang dikenalpasti ialah Kinarut (Penampatan), Kg.Tanjung Aru Lama (Jetty), Kampung Air, Sinsuran, Kg.Sembulan Lama, Kg.Cenderamata 2, Nurul Aman Likas, Kg. Inanam Laut, Bundusan (Kg Luyang, Bintang Ramai),  Kg.Suang Parai (belakang 1 Borneo), Numbak (belakang 1 Borneo), Kg. Setinggan Warisan, Kg.Dalima, Kg.Telipok, Telipok Ria Apartment, Kg Lembaga Padi, Sepanggar Port dan Kg.Sinulihan (Inanam) dan lain-lain.

Jainab yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar juga mencadangkan kepada pemandu dan operator e-panggilan memasang kamera di luar dan dalam kereta demi keselamatan pemandu.

“Sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti rompakan dan lain-lain, rakaman itu dapat menjadi bukti kes”, tegasnya.

Jainab juga menyokong cadangan daripada Persatuan Pemandu E-Panggilan Malaysia (Mehda) yang menggesa semua operator e-panggilan mengambil langkah tegas bagi memastikan semua penumpang mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan mereka.

“Cadangan tersebut wajar dipertimbangkan oleh Kerajaan dan juga operator e-panggilan demi keselamatan pemandu”, tegasnya.

Presiden Mehda, Daryl Chong  berkata, langkah itu penting dan perlu ditangani oleh industri tersebut bagi menghalang pelaku jenayah daripada terlepas.

“Sesiapa juga boleh mendaftar sebagai penumpang Grab hanya dengan mendapatkan satu kad SIM dan selepas itu menggunakan apa-apa juga nama untuk menjadi penumpang.

“Selain itu, tidak juga adil apabila penumpang boleh mengetahui bahawa seseorang pemandu itu adalah sah, tetapi pemandu tidak pula tahu sama ada penumpangnya sah atau merupakan bakal perompak”, katanya kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT).

Darly berkata, penumpang hendaklah diminta mendaftar dengan menggunakan dokumen pengenalan yang sah, misalnya dengan menggunakan MyKad atau pasport mereka.

“Operator e-panggilan mesti mengambil kira keselamatan pemandu jika tidak adanya pendaftaran yang sah. Apabila penumpang tidak didaftarkan dengan menggunakan kad pengenalan mereka, maka risiko dihadapi pemandu bertambah”, katanya.

Sementara itu, Pergerakan Wanita UMNO Sabah turut menyokong kenyataan Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mendesak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin agar memberi penjelasan berhubung penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang mewakili kementerian itu dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Tindakan penarikan diri peguam Syazlin menggambarkan bahawa Kerajaan sengaja mahu alasan untuk melambatkan prosiding tersebut”, katanya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad pada Rabu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya lupa dengan prinsip ‘rule of law’ yang sering diungkapkan sebelum ini sebagai teras asas pentadbiran.

Katanya, semua pihak perlu telus dan amanah kerana inkues bukanlah satu prosiding untuk menentukan kemenangan atau sebaliknya.

“Persoalannya, mengapa perkara ini dijadikan isu selepas 36 hari Syazlin mewakili kementerian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba dan bukannya dari awal.

“Tidakkah tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas ini hanya akan melanjutkan lagi tempoh prosiding inkues setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi? ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JPBM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu. -pr/BNN