Sukan medium perpaduan rakyat yang berkesan-Ghazali

0
109
Mohd Ghazali (berdiri, 10 dari kanan) bersama sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan itu.

TUARAN: Sukan merupakan medium perpaduan yang paling berkesan sekali untuk menyatukan masyarakat Malaysia, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) Bahagian Tuaran, Encik Mohd. Ghazali Datuk Seri Panglima Hajiji.

Mohd.Ghazali (dua dari kanan) bersama Nor Kafli Jamrin (dua dari kiri) dan jemputan lain melakukan gimik perasmian kejohanan.

Katanya, meskipun masyarakat negeri ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun apabila mengenai bab bersukan, semua akan menjadi “geng”.

Beliau berkata, bukan setakat itu semata-mata, sukan sangat penting untuk menyihatkan tubuh badan.

“Di era moden ini, tekanan atau stress merupakan perkara normal dan sudah menjadi norma dunia. ”

“Stress dengan kerja, masalah di rumah, dan juga keadaan persekitaran. Dan menurut statistik,   penyakit kemurungan (depression) merupakan antara penyakit yang banyak membawa maut kepada golongan belia pada masa kini.

“Dengan bersukan, dapat mengeluarkan peluh dan menggunakan konsentrasi ketika bersukan, nescaya sedikit sebanyak dapat mengurangkan stress”, katanya.

Mohd. Ghazali berkata demikian ketika merasmikan
Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Tertutup Tuaran 2019 anjuran KRT Perumahan Laya-Laya, Belia Perumahan Laya-Laya dan Biro Sukan Taman Layar Impian, di padang bola sepak perumahan Laya-Laya dekat sini, hari ini.

Katanya, apabila sukan dapat menyatukan rakyat, maka secara tidak langsung akan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.

“Justeru, sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi ia adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita. Rakyat Malaysia perlu bangga dengan negara ini dan bangga dengan Jalur Gemilang”, tegasnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemain yang mengambil bahagian dan meraih pingat kejohanan.

“kepada yang tidak berjaya janganlah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah menunjukkan bahawa anda telah mencipta kejayaan.

“Semoga kejayaan penganjuran kejohanan ini menjadi titik tolak kejayaan bagi kejohanan yang akan dianjurkan di masa akan datang”, tegasnya.-pr/BNN