Bantuan baja padi bersubsidi akan diedar tidak lama lagi- Dr. Daud

0
109
Dr.Daud Haji Yusof

KOTA KINABALU: Bantuan Baja Padi Bersubsidi kepada petani dan pesawah di Sabah akan diedarkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Dr. Daud  Haji Yusof.

Katanya, tender untuk membekal dan menghantar baja padi dibawah Skim Baja Subsidi Kerajaan telah dipanggil bulan lalu.

“Oleh itu, kita jangkakan pembahagian baja padi bersubsidi ini, khususnya untuk petani padi bukit akan dapat dilaksanakan pada musim penanaman akan datang.

“Pada masa ini Kerajaan sedang mencari pembekal dan penghantar baja tersebut kepada penerima yang telah dikenalpasti, sebelum ini”, katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu.

Dr. Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan menekankan, pengagihan baja padi bersubsidi itu akan dilakukan secepat mungkin untuk memastikan pengeluaran padi dioptimumkan.

Baru-baru ini beberapa orang petani dan pesawah dipetik oleh sebuah portal berita tempatan menyatakan masih belum menerima baja padi bersubsidi yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Dr. Daud berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai bekalan baja padi bersubsidi yang masih belum diterima oleh para petani di Sabah.

“Kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, selepas syarikat pembekal dan pengedar telah dilantik oleh Kerajaan”, tegasnya.